Oleh Amri HTZ –
Kawasan ruang masuk rumah yang indah terhias dengan perabot setentunya menjadikan minda lebih tenang ketika melewatinya terutama setelah penat lelah seharian bekerja.
Namun bagi mereka yang mempunyai ruangan yang terhad, tetapi merasakan perlu menghiasinya dengan sesebuah perabot, memerlukan ia ditempah khas bagi
ukurannya.
Oleh itu bagi menjimatkan sedikit perbelanjaan, projek kali ini akan membawa awda menelusuri projek pembuatan meja konsol pelbagai guna yang cukup ringkas.
PERSIAPAN AWAL SEBELUM REKAAN
• Besi 1 x 1 inci
• Besi L 1 inci
• Kayu 12 inci lebar
• Papan lapis
• Cat
• Varnis
• Mesin kimpal
• Mesin circular
• Mesin kertas pasir
• Nail gun
• Mesin pemotong kayu meja
• Mesin pemotong besi (grinder)
SUKAT KEMUDIAN POTONG BESI
Besi 1 x 1 inci dan besi L 1 inci tersedia akan disukat, ditandakan dan dipotong menggunakan mesin grinder. Pertama sekali potong besi 1 x 1 inci kepada empat batang berukuran 36 inci panjang dan 12 inci panjang. Sementara itu besi L akan dipotong dengan panjang 10 inci. Setiap potongan besi 1 x 1 inci memerlukan sudut potongan 45 darjah. (gambar 2)
Besi-besi tersebut kemudiannya akan dicantumkan menjadi satu menggunakan mesin kimpal. Besi berukuran 36 inci merupakan tiang utama untuk kaki meja. Sementara itu besi 12 inci panjang pula pada bahagian kedua-dua hujung atas dan bawah besi 36 inci sebelumnya. Tetapkan kekuatan voltan mesin kimpal sesuai ketebalan besi digunakan.
Manakala besi L, akan ditetapkan sebagai pemegang kayu meja pada jarak 12 inci daripada bahagian atas. (gambar 3)
Permukaan kimpalan yang tidak sempurna akan dibersihkan sebelum langkah mengecat permukaannya dilakukan. Gunakan cat khusus besi dan sekurang-kurangnya dua lapisan cat diperlukan dengan setiap lapisan diberikan masa mengering lebih kurang 10 minit. (gambar 4)
KAYU UNTUK MEJA UTAMA DAN LACI
Kayu dengan lebar 12 inci tersedia yang akan dipotongkan dengan panjang 32 x 12 inci dua keping dan 12 x 12 inci tiga keping, terlebih dahulu perlu ditandakan menggunakan pen penanda dan pita pengukur. Gunakan sesiku untuk mempercepatkan proses menggariskan bahagian yang telah ditandakan. (gambar 5)
Berpandukan permukaan yang telah ditandakan, potong papan tersebut dengan setiap sudut potongan berbentuk 45 darjah. Sama ada menggunakan mesin circular atau jenis meja, tetapkan bilah alat potongan pada sudut 45 darjah bagi mendapatkan bentuk potongan. (gambar 6)
Bagi yang tidak mempunyai lebar kayu yang diperlukan, mencantumkan beberapa kepingan papan menjadi satu boleh dilakukan. Pastikan permukaan cantuman rata sebelum disapukan dengan gam kayu kemudian ditetapkan kedudukannya menggunakan alat pengapit kayu sehinggalah kayu mengering. (gambar 7)
Bahagian permukaan kayu yang tidak sempurna secara alami mahupun terhasil daripada cantuman yang dilakukan boleh ditutup menggunakan wood filler. Selain itu penggunaan resin epoksi yang dicampurkan dengan pewarna hitam merupakan salah satu cara untuk menyembunyikan lubang-lubang tersebut. (gambar 8)
Papan lapis tersedia, juga mempunyai ketebalan 1 inci akan dipotong dengan ukuran 10 x 11 inci untuk empat kepingan, dan 14 ½ x 11 inci juga empat keping. Sudut potongan 45 darjah juga diperlukan pada langkah ini. (gambar 9)
CANTUM KESEMUA BAHAGIAN
Potongan kayu yang dilakukan sebelumnya kini boleh dicantumkan menjadi satu menggunakan gam kayu dan paku (nail gun). Gunakan bantuan alat pengapit kayu untuk sudut 90 darjah bagi memudahkan proses menembak masuk paku. Kayu 36 x 12 inci untuk bahagian atas dan bawah sementara 12 x 12 inci bagi kedua-dua sisi dan tengah. (gambar 10)
Semasa mencantumkan kayu 12 x 12 inci untuk bahagian tengah, pastikan kedudukannya ditandakan terlebih dahulu. Jika berlaku kesilapan dalam mengekalkan kedudukannya, setentunya ia merupakan langkah yang agak sukar untuk menanggalkannya semula.
(gambar 11)
Sementara untuk kayu bahagian laci, bahagian bawahnya akan direka dengan ruangan groove bagi membolehkan papan lapis ditempatkan pada bahagian bawahnya. Oleh itu gunakan mesin router untuk melakukannya dengan kedalaman ¼ inci. (gambar 12)
Bagi memastikan bahagian dalaman laci meja tertutup sepenuhnya, kayu berukuran 16 x 12 inci akan dicantumkan pada bahagian tersebut. Sebelum itu ia akan dicat dengan varnis jenis jernih untuk membezakannya daripada bahagian utama yang diwarnakan dengan warna putih. Dengan kesemua bahagian telah dicantumkan, kini hanya tinggal awda mencantumkan bahagian kaki meja menggunakan skru. (gambar 13)
TIP REKAAN
• Sudut potongan 45 darjah penting bagi mendapatkan cantuman yang tampak lebih profesional.
• Tebuk permukaan kayu sebelum memasukkan skru bagi mengelakkan kayu terbelah.
• Gunakan gam kayu yang berkualiti agar cantuman benar-benar kukuh dan bertahan lama.