Tambahan hukuman pecah amanah ditolak

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Permohonan pendakwa raya untuk menambah hukuman seorang kakitangan awam ditolak oleh Mahkamah Rayuan memandangkan hakim yang menjatuhi hukuman telah mengambil langkah wajar dalam mengambil kira hukuman ke atas kesalahan pecah amanah.

DPP Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Haji Latiff berusaha mendapatkan hukuman lebih berat terhadap Norwidyawati binti Haji Mokti yang dijatuhi hukuman penjara 8 bulan oleh Mahkamah Perantaraan pada 17 Ogos 2019 kerana melakukan kesalahan di antara November 2016 dan April 2017, sementara masih berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan sebagai kerani pentadbiran awam yang ditempatkan di Pengawal Polis Diraja, Pasukan Diraja Polis Brunei (PDB).

Tugasnya pada masa itu termasuk menerima wang daripada pegawai dan kakitangan PDB untuk disimpan dalam tabung kebajikan dan sukan PDB. Bagaimanapun, defendan menyimpan wang berjumlah $17,775 yang digunakannya untuk perbelanjaan peribadi dan bukannya menyerahkan wang yang dikumpul berkenaan. Dia juga meminjamkan wang sebanyak $1,300 kepada seorang pegawai PDB. Defendan telah memulangkan kesemua wang itu pada Julai 2017.

Yang Di-Pertua Mahkamah Rayuan, Hakim Michael Peter Burrell yang mengadakan perbicaraan bersama Hakim Conrad Seagrott dan Hakim Michael Lunn, menolak rayuan pendakwa raya kerana terdapatnya penjelasan yang memuaskan untuk penangguhan di antara kesalahan yang pertama didedahkan pada Mac 2017 dan hukuman yang dijatuhkan pada Ogos 2019.