Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tambahan latihan mantap pasukan polis

    Oleh Imelda Groves HA

    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt – Bagi memantapkan barisan pemimpin Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) dan menaikkan profil serta keunggulan pasukan selaku institusi penjamin keselamatan awam, kurikulum latihan telah pun ditambah bagi menghadapi cabaran dan perubahan pantas yang tidak menentu.

    Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof berkata, tambahan itu antara lain menerapkan akta perintah kanun hukum jenayah, pembangunan karakter, bercakap di khalayak ramai dan latihan berlandaskan senario.

    “Ia adalah bagi menyedarkan bahawa menguatkuasakan undang-undang dan koordinasi dalam kalangan agensi kerajaan juga perlu bagi mencapai matlamat serta memudahkan pasukan untuk sedia berkhidmat kepada rakyat dan masyarakat umum,” kata Yang Berhormat Pehin selaku tetamu kehormat semasa berucap pada Upacara Perbarisan Tamat Latihan Pegawai Kadet Inspektor Percubaan Skuad 1/2017 dan 2/2017 seramai 16 orang di Pusat Latihan Polis Diraja Brunei, Gadong, pagi tadi.

    Turut hadir ialah Pesuruhjaya PDB, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam; Timbalan Pesuruhjaya PDB, Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali; setiausaha tetap di Jabatan Perdana Menteri dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, pengarah, timbalan pengarah, pegawai kanan PDB dan ahli keluarga para pegawai kadet.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dalam ucapannya juga menjelaskan bahawa suasana, iklim dan landskap keselamatan masa kini cepat berubah termasuk trend jenayah kebangsaan dan keutamaan bagi semua lapisan pasukan khususnya di peringkat kepimpinan untuk terus meningkatkan tahap disiplin kepolisian dan profesionalisme pasukan serta semangat setiakawan bagi mendukung visi pasukan.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy, Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Irwan semasa hadir pada Upacara Perbarisan Tamat Latihan Pegawai Kadet Inspektor Percubaan Skuad 1/2017 dan 2/2017 di Pusat Latihan Polis Diraja Brunei, Gadong.
    Yang Berhormat Pehin menyampaikan anugerah pegawai kadet terbaik kepada Awang Muhammad Aminur Rashid.
    Para kadet inspektor percubaan ketika berjalan lalu dalam gerak perlahan dan cepat.

    “Semua ini akan mencabar atau menguji cara pemikiran dan gerak laku seseorang pegawai polis untuk terus dapat menilai keadaan, membuat pertimbangan dan keputusan secara rasional, cepat dan tepat,” jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

    Menurut Menteri Pertahanan II itu lagi, adalah menjadi kewajipan lepasan Kursus Pegawai Kadet Inspektor Percubaan Skuad 1/2017 dan 2/2017 untuk menjunjung dan menanai titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam setinggi-tingginya dan terus mendukung wawasan dan misi PDB ke arah menjana kejayaan peribadi dan kerjaya.

    Keamanan dan keselamatan adalah dua elemen yang amat penting di dalam memastikan rancangan kemajuan dan pembangunan negara terus berjalan dan kemakmuran dan kesejahteraan terus dapat dinikmati oleh rakyat dan penduduknya.

    “Dalam konteks ini, PDB selaku agensi keselamatan dan penguatkuasaan mempunyai peranan yang amat penting dalam menyumbang kepada pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035,” jelas Yang Berhormat Pehin.

    Yang Berhormat Pehin juga menyatakan kegembiraannya apabila difahamkan bahawa kejayaan melatih pegawai kadet inspektor percubaan ini akan merealisasikan salah satu rancangan strategik bagi penubuhan akademi PDB.

    “Dalam hubungan ini, melalui kerjasama erat yang sudah terjalin dan mendukung pendekatan ‘Whole of Government’ PDB diharap dapat memperoleh pendekatan dan pengajaran berguna daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang telah berjaya menubuhkan Akademi Pertahanan,” kata Yang Berhormat Pehin.

    Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, ABDB sudah tentu dapat berkongsi pengalaman dan amalan terbaik di dalam perancangan, pengendalian dan pengurusan akademi itu nanti.

    Secara kebetulan baru bulan lepas, Jabatanarah Pembangunan dan Perkhidmatan Kerja, Kementerian Pertahanan telah berjaya menerbitkan buku rancangannya.

    “Semoga hasrat murni PDB ini akan menjadi kenyataan dalam masa yang terdekat menjelang usia satu abad kewujudannya. Dengan terbinanya akademi ini nanti, ia akan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan untuk mempertingkatkan kapasiti dan keupayaan warga besar dan unit-unit PDB,” jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

    Upacara itu turut menyaksikan dua pegawai kadet terbaik daripada skuad 1 dan 2/2017 telah menerima Anugerah Pedang Kehormat yang telah disampaikan oleh tetamu kehormat kepada Awang Muhd Aminur Rashid bin Haji Yusly dan Awang Khairul Haq bin Haji Jumat atas prestasi cemerlang mereka sepanjang latihan dijalankan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda