Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – Sebuah perusahaan kilang kayu yang terletak di Kampung Kilanas, Mukim Kilanas telah diarah untuk menghentikan aktiviti dan merobohkan kemajuan tambahannya kerana menjalankan kegiatan perusahaan dan membina tambahan bangunan tanpa Kebenaran Perancangan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), Kementerian Pembangunan, perusahaan berkenaan telah melanggar Bab 23(2), Perintah Perancangan Bandar dan Desa, 2015 (TCPO). Kegiatan kilang kayu itu dijalankan di atas lot yang bersyaratkan perumahan am dan perniagaan sampingan yang mana tidak sesuai untuk tujuan perusahaan tersebut.
Tambahan bangunan bagi kilang kayu tersebut turut melibatkan garis bangunan yang tidak teratur dan berbahaya.
Selepas pemantauan dan pemeriksaan rutin dilakukan pada November 2022, pemilik tanah berkenaan didapati telah mematuhi arahan pihak berkuasa dengan menghentikan aktiviti, merobohkan tambahan bangunan dan membersihkan kawasan tersebut.
Pemajuan dan perubahan penggunaan tanpa Kebenaran Perancangan boleh menyebabkan bahaya dan menjejaskan keselamatan orang ramai.
Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi undang-undang perancangan khususnya Bab 23 TCPO yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh melaksanakan pemajuan atas tanah, memecah atau menyatukan mana-mana tanah atau melaksanakan apa-apa kerja dalam suatu kawasan pemuliharaan tanpa Kebenaran Perancangan.
Kegagalan dalam mematuhi boleh dikenakan denda sepertimana di dalam Bab 23 (6) iaitu denda tidak melebihi $200,000 dan bagi kesalahan yang berterusan boleh dikenakan denda tambahan tidak melebihi $10,000 bagi setiap hari selama mana kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.
Untuk sebarang aduan dan khidmat nasihat perancangan orang ramai bolehlah menghubungi melalui talian hotline JPBD di talian 8200222 atau melalui e-mel di tcp.aduan@tcp.gov.bn.



