Saturday, April 19, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tambahan tanpa kebenaran diarah roboh

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Seorang pemilik premis perniagaan di Kampung Tanjong Bunut, Mukim Kilanas telah didapati menggunakan sebahagian dari laluan pejalan kaki awam di tepi premis untuk aktiviti perniagaan tanpa mendapat kebenaran perancangan daripada Pihak Berkuasa Perancang.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), Kementerian Pembangunan, di sini, menyatakan bahawa tindakan berkenaan melanggar Seksyen 23(2) Perintah Perancangan Bandar dan Desa, 2015 kerana melibatkan perubahan guna tanah dan halangan ke atas ruang awam tanpa kelulusan terdahulu.

    Pencerobohan itu melibatkan penggunaan laluan pejalan kaki bagi pemasangan struktur kekal yang menjejaskan akses pejalan kaki dan keselamatan awam.

    Hasil daripada siasatan, pihak berkuasa perancangan melalui JPBD telah mengeluarkan notis penguatkuasaan kepada pemilik premis untuk merobohkan struktur dan menghentikan segala aktiviti di atas laluan berkenaan.

    Pemilik premis telah mematuhi arahan yang diberikan dan laluan pejalan kaki kini telah dibersihkan daripada sebarang penggunaan tanpa kebenaran.

    Orang awam diingatkan untuk sentiasa mematuhi undang-undang perancangan, khususnya Seksyen 23, yang memperuntukkan bahawa tiada sesiapa pun boleh menjalankan sebarang pembangunan, pembahagian atau penggabungan tanah, atau menjalankan sebarang kerja dalam kawasan pemuliharaan tanpa kebenaran daripada Pihak Berkuasa Perancang.

    Kegagalan untuk mematuhi boleh dikenakan denda tidak melebihi $200,000 dan sekiranya kesalahan itu berterusan, denda tambahan tidak melebihi $10,000 bagi setiap hari kesalahan tersebut diteruskan selepas sabitan.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau ingin mendapatkan nasihat perancangan, mereka boleh menghubungi talian hotline JPBD di 8200222 atau melalui e-mel, tcp.aduan@tcp.gov.bn.

    Tambahan unit kedai yang tidak mempunyai kebenaran perancangan daripada Pihak Berkuasa Perancang. – GAMBAR SERAHAN JPBD
    Struktur tambahan unit kedai yang sudah dirobohkan oleh pemiliknya.– GAMBAR SERAHAN JPBD

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda