Tambahbaik tarif barangan perubatan

KUALA LUMPUR, 4 MEI – Sebahagian besar ekonomi di bawah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mempunyai ruang bagi tujuan penambahbaikan termasuk membabitkan tarif barangan perubatan, kata Penganalisis Kanan Sokongan Dasar APEC Carlos Kuriyama.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya negara anggota APEC memanfaatkan masa sekarang untuk memulakan inisiatif terbabit ketika sebahagian besar ekonomi dunia terbukti tidak bersedia menghadapi krisis kesihatan seperti pandemik COVID-19.

“Perdagangan global barangan perubatan sebelum ini tidak sebegitu kritikal dan amat diperlukan sebagaimana sekarang walaupun nilainya mencecah hampir AS$1 trilion,” katanya pada laman sesawang APEC.

Mengulas tarif, beliau menganggap terdapat ketidakseimbangan ketara dalam kalangan anggota ekonomi APEC dari segi pelaksanaan tarif Negara Pilihan Utama (MFN) untuk ubat-ubatan dan peralatan perubatan dengan mengenakan kadar tarif yang tinggi ke atas bekalan perubatan dan peralatan perlindungan diri (PPE).

“Ini sebaliknya boleh mengancam kepentingan ramai dan pesakit kerana akses terhadap PPE dan bekalan perubatan adalah penting berdasarkan cabaran semasa berikutan sekatan pergerakan, penjarakan sosial dan kehadiran ramai pesakit yang memerlukan rawatan,” katanya.

Malah Kuriyama berkata, 10 produk utama dengan purata tertinggi tarif duti bagi barangan perubatan merangkumi bekalan ubat-ubatan dan/atau produk perlindungan diri.

Menurutnya, dari sudut ekonomi, lebih 90 peratus daripada perdagangan barangan perubatan dalam kalangan APEC adalah tertumpu kepada 10 ekonomi pakatan tersebut.

Namun, tegasnya, ini tidak mencukupi kerana segelintir kerajaan global masih melaksanakan pengecualian tarif import membabitkan pelbagai barangan perubatan dan sebahagian besar daripadanya bersifat sementara dan hanya sepanjang tempoh berlakunya pandemik itu.

“Kita perlu melihatnya dari segi jangka panjang dan bertumpu kepada kekurangan dasar yang jelas membabitkan perdagangan penjagaan kesihatan. Isu sama yang kita tangani hari ini mungkin berulang lagi jika tidak diselesaikan sekarang,” katanya.

Mengulas kaedah yang boleh dilakukan APEC bagi mengatasi ketidakseimbangan perdagangan itu, beliau berkata forum antara kerajaan melibatkan 21 negara anggota di sekitar rantau pasifik perlu mewujudkan sistem yang membolehkan pergerakan barangan perubatan secara cekap dan pantas di dalam serta rentas sempadan.

“Permulaan yang baik adalah dengan mewujudkan inisiatif kolektif dalam kalangan anggota yang berhasrat mengurangkan atau memansuhkan terus tarif barangan perubatan penting bagi membendung COVID-19.

“APEC berada di kedudukan terbaik untuk melakukan perubahan mengikut rekod prestasinya yang baik. Sekiranya inisiatif ini dapat diteruskan, ia akan menepati keperluan akses pasaran kumpulan itu atau jawatankuasa membabitkan perdagangan dan pelaburan,” katanya.

Selain bertujuan melonggarkan tarif, Kuriyama berkata APEC juga perlu memansuhkan langkah bukan tarif yang menjejaskan kelancaran barangan perubatan di peringkat serantau. – Bernama