DENPASAR, Indonesia, 6 Feb – Seorang wanita warga Britain telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan atas tuduhan menampar seorang pegawai imigresen di pulau pelancongan Bali, Indonesia selepas ketinggalan penerbangannya disebabkan visanya mansuh.
Video menunjukkan Auj-e Taqaddas telah memaki dan memukul seorang pegawai di lapangan terbang antarabangsa Bali pada Julai yang menjadi tular tahun lepas.
Rakaman turut menunjukkan wanita berusia 43 tahun itu membuat perangai selepas diminta untuk membayar denda sekitar AS$4,000 kerana visanya sudah mansuh pada Februari.
Selepas dijatuhkan hukuman di Mahkamah Daerah Denpasar, Taqaddas berkata mahkamah korup dan dia telah diseksa oleh polis tiga kali termasuk hari ini.
Sebelum dihadapkan ke mahkamah, dia telah ditangkap di sebuah gedung membeli-belah selepas gagal untuk hadir ke mahkamah bebe-rapa kali.
“Ini adalah mahkamah palsu yang hanya mendengar pendakwa kotor yang tidak membawa saya ke mahkamah selama enam bulan,” kata Taqaddas, yang akan mendapatkan permohonan rayuan.
Semasa perbicaraan yang bermula pada Disember, Taqaddas merayu tidak bersalah dan berkata video itu telah disunting.
Dia telah didakwa kerana berkelakuan ganas terhadap seorang pegawai kerajaan dan pendakwa telah memohon hukuman penjara satu tahun ke atasnya.
“Indonesia adalah negara penjenayah. Undang-undang Indonesia korup. Hakim-hakim Indonesia juga korup,” jerit Taqaddas ketika dua pegawai mengiringinya keluar dari mahkamah. “Tidak ada peguam disediakan. Imigresen Indonesia juga korup,” katanya lagi. – AP
