Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tampil aura vintaj

    KOTA BAHARU – Deretan beberapa kedai kayu lama era 1950an di Jalan Sultanah Zainab berhampiran Pasar Kubang Pasu, di sini kelihatan usang pada pandangan mata kasar namun tumpuan pasti terarah kepada sebuah kedai kopi di lokasi berkenaan yang tidak putus-putus menerima kehadiran pelanggan.

    Sebaik melangkah masuk susun atur meja dan kerusi aluminium klasik serta barangan kedai kopi antik atau vintaj menghiasi hampir semua sudut kafe itu, pastinya sudah menjawab persoalan kenapa ia menjadi tumpuan ramai.

    Bercakap kepada Bernama, pemiliknya Muhamad Faiz Rushdi, 36, berkata ‘kodar’ dalam dialek Kelantan bermaksud ‘sekadar’.

    “Jadi Kodar Cafe membawa erti ‘Sekadar Cafe’. Niat asal saya cuma ‘main-main’ buka kedai kopi kecil dengan menu yang ringkas serta murah seperti roti bakar, laksa, laksam dan air oren botol yang dijual pada harga biasa (tidak terlalu mahal).

    “Sebab itu juga saya menyewa kedai kayu lama dan kelihatan usang ini untuk dapatkan ‘vibe’ vintaj serta sesuaikan dengan konsep Kodar Cafe,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. 

    Muhamad Faiz menyiapkan minuman yang dipesan pelanggan ketika ditemui Bernama baru-baru ini. – Bernama
    Pemandangan dari luar menunjukkan Kodar Cafe yang berkonsepkan vintaj. – Bernama

    Bercerita lanjut, Muhamad Faiz yang merupakan seorang pengumpul barangan klasik dan vintaj berkata baru sebulan beroperasi, kedai kopi yang diusahakan bersama isteri serta seorang pembantu itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan malah tular dalam media sosial.

    Menurut beliau terdapat beberapa kafe dengan konsep vintaj di sekitar Kota Bharu, namun rata-rata beroperasi di bangunan atau kedai batu.

    “Kodar Cafe berlainan kerana dibuka di kedai kayu usang, oleh itu saya kekalkan keadaan asal kedai ini, cuma ada sedikit kos dikeluarkan sekitar RM8,000 melibatkan kerja-kerja pendawaian.

    “Dekorasi serta hiasan saya buat sendiri menggunakan sebahagian daripada koleksi barangan kedai kopi antik atau vintaj yang sudah dikumpulkan sejak sekian lama,” katanya yang berasal dari Kubang Kerian.

    Muhamad Faiz berkata bagi menyesuaikan konsep vintaj semua menu turut dihidangkan menggunakan gelas dan pinggan klasik.

    “Meja dan kerusi aluminium klasik pula diperoleh daripada seorang rakan di utara Semenanjung,” katanya.

    Katanya selain mendapat sambutan baik pelanggan, konsep kafe beliau turut diintai usahawan lain.

    “Ada yang buat tawaran untuk sediakan mesin kopi supaya dapat tawarkan kopi jenama mahal kepada pelanggan, tetapi saya tolak sebab tak sesuai dengan konsep Kodar Cafe.

    “Seperti saya beritahu tadi niat asal nak buka kedai kopi dengan menu murah dan ringkas,” katanya sambil menambah Kodar Cafe dibuka pada setiap Selasa hingga Ahad bermula 6 petang hingga 11:30 malam. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda