PARIS – Lazimnya mereka menjahit baju tutu dan kostum berbunga-bunga untuk sesetengah opera dan bintang balet terkenal di dunia.
Namun pembuat kostum dari panggung opera di seluruh Perancis kini beralih bakat mereka untuk menghasilkan penutup mulut dan hidung . Sejak awal bulan April, Christine Neumeister, pengarah kostum dari Opera Paris, telah keluar mengumpul penutup mulut dan hidung yang dijahit oleh 30 pereka fesyen beliau sementara menghabiskan masa terperap di dalam rumah.
Minggu pertama mereka menghasilkan 1,000 untuk Palang Merah dan sebuah hospital bersalin di Paris, dan minggu berikutnya mereka mengeluarkan jumlah yang sama untuk persatuan Salvation Army.
Disimpan dalam ‘beg tutu’ bertanda ‘Opera de Paris’, mereka merupakan antara aksesori perlindungan peribadi yang paling bergaya – walaupun kakitangan dari firma fesyen Perancis Dior dan Louis Vuitton juga telah menawarkan untuk membantu menghasilkan penutup mulut dan hidung.
“Kami mempunyai kain dan kepakaran,” kata Neumeister, warga Jerman.


“Ia juga mendatangkan kepuasan kepada kami apabila melihat hasil kerja kami, yang merupakan satu seni, boleh menjadi sesuatu yang berguna dalam krisis yang dihadapi sekarang,” tambah beliau.
“Nenek saya di Jerman selalu berkata semasa peperangan, orang yang boleh menghasilkan sesuatu dengan tangan mereka adalah wira, raja dan permaisuri.”
Dengan kekurangan kronik penutup mulut dan hidung untuk orang awam malah kakitangan perubatan dan jururawat di Perancis, tidak timbulnya kekurangan pembeli.
Negara itu mungkin mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidup di sesetengah tempat awam apabila perintah berkurung yang ketat mulai dilonggarkan pada 11 Mei.
Pembuatan penutup mulut dan hidung di jabatan kostum panggung opera di seluruh Perancis hanya bermula dengan bersungguh-sungguh selepas norma-norma rasmi disiarkan dalam talian pada akhir Mac.
Neumeister ‘memilih penutup mulut dan hidung dengan tiga lapis yang menyerupai penutup pembedahan dan yang membenarkan anda bernafas dengan lebih baik berbanding model seperti paruh itik.”
Beliau berkata ia dibuat daripada kain nipis poplin dengan kain kapas bulu di tengah. “Ia perlu dicuci dalam air pada suhu 60 darjah Celsius.”
Neumeister berkata ia mengambil masa 20 minit untuk menjahit penutup mulut dan hidung, lebih lama berbanding apabila kakitangannya bekerja di studio mereka.
Isabelle Daumas dan 20 rakan sekerjanya dari Opera Toulouse di barat daya Perancis juga akan menghasilkan penutup mulut dan hidung dengan standard yang tinggi mulai Isnin.
Dan seperti beberapa kakitangan dan artis dari Capitole de Toulouse, yang menempatkan panggung opera, balet dan orkestra, setiap hari beliau telah membantu disinfeksi peralatan untuk menerima orang yang mungkin dijangkiti COVID-19.
Di Opera Marseille, mereka mengambil langkah tambahan, meminta penutup mulut dan hidung mereka diberi kelulusan oleh pihak berkuasa tempatan untuk digunakan oleh pekerja mereka.
“Lima atau enam orang akan bekerja setiap hari di studio,” dan bukannya dari rumah mereka, mematuhi peraturan ketat penjarakan sosial, kata Aude Eisinger, yang menubuhkan kempen tersebut untuk majlis tempatan.
Dengan 1,000 penutup muka dan hidung dihasilkan, ‘kami bergantung pada stok fabrik opera disebabkan mendapatkan bekalan baharu adalah amat sukar,” tambah beliau.
Situasi juga sama di Opera Bordeaux di mana pengarah teknikal Yves Jouen berkata ‘pembekal fabrik kami sudah kehabisan stok.’
Terdapat sekumpulan pembuat kostum bekerja memotong fabrik dalam bengkel opera sebelum menghantar mereka ke rumah rakan sekerja mereka yang melakukan kerja-kerja menjahit.
“Malah kami mempunyai pemuzik dari orkestra yang menjadi tukang jahit demi menghulurkan bantuan,” kata Jouen. – AFP