Pemakaian selipar sering dikaitkan dengan penampilan yang selekeh. Keselesaan serta pemakaian selipar yang mudah dan pantas menjadi penyebab ramai lelaki menggemarinya, akan tetapi terdapat cara untuk awda tetap tampil bergaya walaupun memakai alas kaki terbuka itu.
Dengan pemilihan dan cara pemakaian yang betul, awda boleh mengelakkan daripada kelihatan selekeh dengan penampilan yang santai tetapi tetap bergaya. Berikut adalah beberapa tip untuk memastikan awda kelihatan kemas dan bergaya walaupun hanya memakai selipar.
PILIH SELIPAR BERKUALITI
Pertama sekali, pastikan awda memilih selipar yang berkualiti. Elakkan memilih selipar yang kelihatan murah dan rapuh.
Selipar kulit atau yang diperbuat daripada bahan berkualiti tinggi lebih tahan lama dan memberikan penampilan yang lebih kemas. Pelaburan dalam sepasang selipar berkualiti boleh membuat perbezaan besar dalam gaya awda.
PASTIKAN KAKI SENTIASA BERSIH DAN TERJAGA
Memakai selipar bermakna kaki akan lebih terdedah. Oleh itu, pastikan kaki awda sentiasa bersih dan terjaga.
Di samping itu, kuku kaki yang panjang dan kotor boleh menjejaskan penampilan awda.
Gunakan scrub untuk menghilangkan kulit mati dan pelembap untuk memastikan kulit kaki awda tidak kering dan pecah-pecah.
PADANKAN DENGAN PAKAIAN YANG BETUL
Padanan pakaian dengan selipar adalah penting untuk memastikan awda tidak kelihatan selekeh.
Selipar sesuai dipadankan dengan pakaian santai seperti seluar pendek, chinos atau jeans yang dilipat di bahagian buku lali. Selain itu, pastikan juga pakaian awda kemas dan sesuai dengan situasi. Contohnya, elakkan memakai selipar pada majlis formal atau ke pejabat.
PILIH WARNA YANG NEUTRAL
Warna selipar juga memainkan pe-ranan penting dalam penampilan keseluruhan. Warna-warna neutral seperti hitam, coklat atau biru laut lebih mudah dipadankan dengan pelbagai jenis pakaian dan kelihatan lebih terkini.
Awda juga disarankan agar mengelakkan daripada memakai selipar dengan corak yang terlalu terang atau terlalu banyak hiasan yang boleh membuatkan penampilan awda kelihatan berlebihan.
JAGA KEBERSIHAN SELIPAR
Selipar yang kotor atau rosak akan membuatkan awda kelihatan selekeh. Bersihkan selipar awda secara berkala dan gantikan jika sudah terlalu lusuh.
Untuk selipar kulit, gunakan pembersih khas dan pelembap untuk menjaga kualitinya.
Selipar yang bersih dan terjaga akan memberi impak besar kepada penampilan awda.
ELAK ‘SELIPAR JAMBAN’
Selipar getah atau lebih dikenali sebagai ‘selipar jamban’ lebih sesuai untuk kegunaan di rumah atau di tepi pantai.
Jika awda ingin keluar ke tempat awam, pilihlah selipar yang lebih sesuai dan bergaya.
Selipar kulit atau yang mempunyai rekaan moden lebih sesuai untuk dipakai di luar rumah.
PERHATIKAN BENTUK KAKI
Tidak semua selipar sesuai dengan semua bentuk kaki. Jika awda mempunyai kaki yang lebar, pilihlah selipar yang memberi ruang yang cukup untuk keselesaan. Selipar yang terlalu ketat akan menyebabkan kaki kelihatan kurang menarik dan boleh menyebabkan ketidakselesaan.
Menerusi tip berkenaan, awda boleh memastikan penampilan agar sentiasa kemas dan bergaya walaupun hanya dengan memakai selipar.
Ingatlah bahawa penampilan yang baik bermula dengan perhatian terhadap butiran kecil seperti pemilihan dan cara memakai selipar. – Agensi