Monday, February 24, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tampil patriotik jayakan persembahan HK-41

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Lebih 7,600 orang peserta tampil dengan semangat patriotik demi sama-sama menjayakan persembahan istimewa bagi Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41, Tahun 2025 di ibu negara, hari ini.

    Persembahan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Persembahan Permata Bangsa, Persembahan Nyanyian Lagu-lagu Patriotik dan Persembahan Tema.

    Bagi Persembahan Permata Bangsa berdurasi empat minit itu telah melibatkan 241 orang peserta terdiri daripada murid-murid sekolah rendah pendidikan kerajaan dan swasta.

    Mereka yang memperagakan pakaian cara melayu bergulambir dan berkebaya pelbagai warna itu mempersembahkan tarian tradisional bertajuk Hola Hela dan Joget Lagu Dua yang antaranya menggambarkan semangat cinta akan tanah air yang aman, makmur dan berpaksikan nilai Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai asas perpaduan negara.

    Ia diikuti pula dengan sembilan orang penyanyi belia yang terdiri daripada Neff Aslee, Faizul Razali, Shaf Shahil, Marsha, Ayesha Said, Isyraf Yusri, Kamisahnor, Hasberina dan Muqsith menjayakan Persembahan Nyanyian Lagu-lagu Patriotik.

    Manakala seramai 5,000 orang pelajar sekolah menengah, maktab dan institusi pengajian tinggi serta 2,400 orang pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta juga telah bersatu mewarnai suasana bagi Persembahan Tema.

    Persembahan Tema mengetengahkan semangat kecintaan mendalam terhadap tanah air, bangsa, raja dan agama yang berakar umbi dalam jiwa setiap warganegara Brunei Darussalam.

    Melalui dendangan lagu-lagu patriotik, persembahan mereka merangkumi nilai-nilai kesetiaan, pengorbanan dan tanggungjawab dalam memelihara warisan negara. Menerusi lagu Bersatu Mencapai Cita Negara membawa para penonton menelusuri aspirasi pembangunan lestari, dengan nilai teras MIB dijadikan panduan.

    Persembahan berkenaan diakhiri dengan lagu Darussalam Gemilang yang menekankan perpaduan rakyat, semangat belia dan penguasaan teknologi sebagai kunci masa depan gemilang.

    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara persembahan yang diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41 di ibu negara, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda