Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
TEMBURONG, 1 DIS – Sebagai usaha mengembang majukan sosioekonomi masyarakat, Jabatan Daerah Temburong melalui Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan mengadakan Tamu Basar Temburong di Tamu Aneka Temburong, Pekan Bangar, di sini.
Majlis perasmian tamu berkenaan yang akan diadakan setiap Sabtu itu telah diadakan semalam di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Abdul Ghani bin Haji Othman.
Turut hadir pada majlis perasmiannya semalam, ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu; Pemangku Penolong Pegawai Daerah Temburong, Haji Mohamad Azmi bin Haji Suhaili, ketua-ketua cawangan jabatan kerajaan Daerah Temburong, jemputan khas serta para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung.
Perasmian Tamu Basar Temburong disempurnakan oleh tetamu kehormat berserta para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung selaku pemimpin akar umbi.
Inisiatif mengadakan tamu itu adalah sebagai langkah bagi menambah tarikan dan kemeriahan Pekan Bangar dengan aktiviti perekonomian.
Konsep Tamu Basar Temburong adalah membeli-belah secara terbuka di mana penjaja dan peniaga kecil diberikan peluang untuk menyewa petak-petak yang ditawarkan dan diharapkan menjana suasana santai dengan harga yang berpatutan. Antara objektifnya adalah untuk memberikan peluang perniagaan kepada peniaga-peniaga baharu yang berkecimpung dalam bidang keusahawanan. Selain itu, ia adalah satu platform untuk para peniaga bagi mengembang majukan perniagaan yang sedia ada dan juga merupakan inisiatif Jabatan bagi meningkatkan lagi tahap sosioekonomi negara khususnya di Daerah Temburong.
Sebanyak 40 petak ditawarkan yang diharapkan akan memeriahkan lagi suasana Pekan Bangar di samping memberikan peluang untuk meningkatkan ekonomi dalam kalangan penduduk tempatan.
