Tamu Jalan Gaya jadi tumpuan calon parti berkempen

KOTA KINABALU, 13 SEPT – Suasana hujung minggu Jalan Gaya yang terletak di pusat bandar Kota Kinabalu hari ini bertambah ‘meriah’ apabila menjadi tumpuan jentera pilihan raya parti-parti bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk berkempen.

Para calon mengambil peluang itu untuk bertemu pengunjung dan peniaga di Tamu Gaya yang hanya beroperasi sekali dalam seminggu dari 6 pagi hingga 12 tengah hari, bagi mendekati pengundi kawasan masing-masing.

Antara calon yang berkempen ialah calon Barisan Nasional (BN) Dr Chang Kee Ying, Datuk Christina Liew (PKR), Tan Sri Chong Kah Kiat (LDP) dan Tan Lee Fatt (DAP).

Setiap calon dan jentera parti memakai pakaian mengikut warna parti masing-masing bagi memudahkan pengundi mengenali calon.

Selain beramah mesra, jentera parti juga turut mengedarkan risalah yang mengandungi mesej parti serta tawaran-tawaran mereka kepada pengundi.

Sementara itu, Dr Chang yang akan bertanding bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas berkata meskipun beliau merupakan calon baharu, namun penerimaan orang ramai sangat baik.

“Kempen hari ini berjalan lancar, penerimaan orang ramai juga sangat baik. Selain di sini, saya juga akan berkempen melalui media sosial supaya masyarakat khususnya di DUN Likas lebih mengenali saya,” katanya yang merupakan doktor gigi.

Sementara itu, Gil Tupang, 63, yang menjual kraf tangan di situ sejak 20 tahun lepas berkata suasana Tamu Gaya yang terletak dalam DUN Api-Api itu kelihatan sibuk apabila ramai yang berkunjung hari ini. – Bernama

Datuk Christina Liew mengedarkan risalah parti ketika bertemu dengan pengundi kawasan Api-Api di Tamu Minggu Gaya Street. – Bernama