Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tamu Putatan tamatkan penantian peniaga kecil miliki tapak perniagaan baharu

    PUTATAN, 25 JULAI – Penantian hampir empat tahun peniaga kecil sekitar daerah tersebut untuk memiliki kemudahan pasar tamu lebih selesa bakal berakhir apabila mereka akan dipindahkan ke lokasi tapak baharu Tamu Putatan tidak lama lagi.

    Projek melibatkan kerja-kerja membina semula pasar tamu di atas tapak baharu melibatkan kos keseluruhan RM10 juta itu siap sepenuhnya pada 1 Disember tahun lepas dengan pembinaan mengambil masa tiga tahun dua bulan.

    Sebanyak 239 lot niaga disediakan merangkumi 24 gerai basah (gerai ikan, makanan laut, ayam dan daging), 36 gerai separa kering (sayur dan buah), 172 tapak peniaga sementara serta tujuh gerai makan.

    Peniaga makanan Talhata Laurun, 58, berpuas hati melihat suasana baharu serta kemudahan perniagaan disediakan di pasar tamu itu dan menyifatkan ia amat sesuai, teratur dan selesa.

    “Saya berharap ramai pengunjung datang ke sini supaya kami dapat meningkatkan pendapatan,” katanya ketika ditemui Bernama selepas Majlis Penyerahan Projek Tamu Putatan di sini hari ini.

    Pada majlis itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyaksikan penyerahan projek tapak tamu berkenaan antara Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali dan Pengerusi Majlis Daerah Putatan, Masawi Salleh.

    Mengulas lanjut, Talhata yang berniaga makanan sejak 20 tahun lepas berkata dia bersetuju dipindahkan ke lokasi baharu itu dengan harapan ia akan menjadi lokasi kekal untuk para peniaga memandangkan mereka sering berpindah-randah sebelum ini.

    Penjual sayur Theresa Ajin, 63, juga berpuas hati dengan keadaan kemudahan pasar tamu baharu itu kerana tamu sementara sekarang ini terbuka dan menyebabkan para peniaga terdedah dengan cuaca panas dan hujan. 

    Theresa juga berharap pihak berkaitan dapat menyediakan lebih banyak tempat letak kereta untuk kemudahan pengunjung. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda