JAKARTA, 29 OKT – Dua individu berjaya diselamatkan manakala tiga lagi masih hilang dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di jalan Sumatera-Aceh di Bandar Subulussalam, Wilayah Aceh, pada Jumaat malam.
Kejadian di Jalan Lintas Medan berhampiran Kampung Lae Ikan dalam daerah Penanggalan berlaku berikutan hujan lebat pada kira-kira pukul 8 malam waktu tempatan, menurut agensi mitigasi bencana Indonesia.
Seorang jurucakap agensi bencana daerah (BPBD) tempatan, Cut Anita berkata tiga individu yang hilang itu ialah dua orang awam dan seorang pegawai polis dari Penanggalan.
“Usaha mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang hilang ini diteruskan di bawah penyelarasan BPBD Subulussalam,” menurut-nya dalam satu kenyataan. – Bernama