Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Tanah runtuh, banjir ragut 36 jiwa

    SAO PAULO, 20 FEB – Hujan lebat menyebabkan banjir dan tanah runtuh telah mengorbankan 36 orang di pantai utara negeri Sao Paulo, Brazil, kata pegawai hari ini, dengan jumlah kematian dijangka meningkat.

    Kerajaan negeri Sao Paulo dalam satu kenyataan berkata 35 maut di bandar Sao Sebastiao dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun terbunuh di Ubatuba.

    Pada pagi ini, lebih 500 orang meneruskan usaha mencari dan menyelamat.

    Beberapa bandar paling teruk terjejas berada dalam keadaan kecemasan, termasuk Sao Sebastiao, Ubatuba, Ilhabela dan Bertioga telah membatalkan perayaan karnival mereka ketika pasukan penyelamat meneruskan pencarian ke atas mangsa hilang di bawah runtuhan.

    “Pasukan penyelamat kami tidak berjaya sampai ke beberapa lokasi. Keadaan kelihatan huru-hara,” kata Felipe Augusto, datuk bandar Sao Sebastiao.

    Kerosakan yang disebabkan oleh hujan lebat di perbandaran Sao Sebastiao, Sao Paulo, Brazil pada 19 Februari. – AFP

    Kemudian, beliau menambah terdapat puluhan orang hilang dan 50 rumah runtuh di bandar ini akibat tanah runtuh.

    Augusto menyiarkan dalam media sosial beberapa video kemusnahan yang meluas di bandarnya, termasuk seorang anak damit yang diselamatkan oleh penduduk tempatan yang berbaris di jalan yang dinaiki air.

    Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva berkata dalam laman Twitter beliau akan melawat wilayah itu hari ini.

    Kerajaan negeri Sao Paulo dalam satu kenyataan berkata hujan di rantau itu telah melepasi 600 milimeter (23.6 inci) dalam sehari, antara jumlah tertinggi pernah berlaku di Brazil dalam tempoh yang singkat.

    Bertioga sahaja menerima 687 milimeter dalam tempoh itu, kata kerajaan negeri.

    Gabenor Tarcisio de Freitas dalam satu kenyataan berkata beliau meminta bantuan daripada tentera, yang menghantar dua kapal terbang dan pasukan penyelamat ke wilayah itu.

    Rakaman TV menunjukkan rumah dibanjiri dengan hanya bumbung yang kelihatan.

    Penduduk menggunakan bot kecil untuk membawa barang dan orang ramai ke kawasan yang lebih tinggi.

    Sebuah jalan yang menghubungkan Rio de Janeiro ke bandar pelabuhan Santos terhalang oleh tanah runtuh dan banjir.

    Pantai utara negeri Sao Paulo adalah destinasi karnival yang kerap dikunjungi pelancong kaya yang lebih suka menjauhi pesta jalanan di bandar-bandar besar. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...