KATHMANDU, 5 OKT – Tanah runtuh dan banjir yang dicetuskan oleh hujan lebat di Nepal telah meragut sekurang-kurangnya 42 nyawa, menurut seorang pegawai bencana, hari ini.
Beberapa bahagian negara itu telah dilanda banjir sejak Jumaat, mendorong pihak berkuasa bencana mengeluarkan amaran terhadap kemungkinan limpahan air di beberapa sungai utama.
“Setakat ini, 42 orang telah terkorban dalam bencana yang berpunca daripada hujan lebat dan lima lagi masih hilang,” kata jurucakap Pihak Berkuasa Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal, Shanti Mahat kepada AFP.
Sekurang-kurangnya 37 orang dilaporkan maut akibat tanah runtuh di daerah timur Illam.
“Hujan lebat pada waktu malam telah menyebabkan berlakunya tanah runtuh,” kata pegawai daerah tempatan, Sunita Nepal.
“Disebabkan jalan raya terhalang, beberapa kawasan sukar untuk dicapai. Pasukan penyelamat sedang menuju ke lokasi dengan berjalan kaki,” tambahnya.
Sungai-sungai di ibu kota Kathmandu turut melimpah, menenggelamkan penempatan di sepanjang tebingnya.
Anggota keselamatan telah dikerahkan untuk membantu operasi menyelamat menggunakan helikopter dan bot bermotor.
Beberapa lebuh raya utama turut terjejas akibat tanah runtuh dan penerbangan tergendala, menyebabkan ratusan penumpang, termasuk mereka yang baru pulang selepas meraikan perayaan Hindu Dashain, terkandas.
Musim monsun yang biasanya melanda dari bulan Jun hingga September sering membawa kemusnahan dan korban nyawa setiap tahun di seluruh Asia Selatan, namun jumlah kejadian banjir dan tanah runtuh maut semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pakar berkata perubahan iklim telah memburukkan lagi corak, kekerapan dan tahap keterukan bencana tersebut. – AFP


