KATHMANDU, 5 OKT – Tanah runtuh dan banjir yang dicetuskan oleh hujan lebat di Nepal dan India telah meragut lebih 60 nyawa, menurut pegawai hari ini, ketika pasukan penyelamat bergegas untuk sampai ke kawasan pedalaman yang terputus hubungan di pergunungan.
Hujan lebat berterusan sejak Jumaat menyebabkan sungai-sungai di Nepal melimpah dan banyak kawasan di negara Himalaya itu dilanda banjir.
Sekurang-kurangnya 43 orang maut dalam bencana akibat hujan, manakala lima lagi masih hilang, kata jurucakap Pihak Berkuasa Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal, Shanti Mahat, kepada AFP.
Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 37 kematian dilaporkan berpunca daripada tanah runtuh di daerah timur Illam, kawasan yang paling teruk terjejas.
“Hujan lebat pada waktu malam telah mencetuskan tanah runtuh,” kata pegawai daerah tempatan, Sunita Nepal.

“Disebabkan jalan raya tersekat, beberapa kawasan sukar untuk dicapai. Pasukan penyelamat sedang menuju ke lokasi dengan berjalan kaki,” tambahnya.
Sungai-sungai di ibu negeri Kathmandu turut melimpah dan menenggelamkan penempatan di sepanjang tebingnya. Pasukan keselamatan telah dikerahkan untuk membantu operasi menyelamat menggunakan helikopter dan bot bermotor.
“Terdapat sedikit kerosakan, tetapi disebabkan amaran banjir awal daripada pihak berkuasa, kami sempat memindahkan beberapa barangan ke tempat lebih selamat,” kata seorang penjual sayur, Rajan Khadga, 38 tahun.
Tanah runtuh juga telah menutup beberapa lebuh raya utama dan menyebabkan penerbangan tergendala, sekali gus menjejaskan ratusan penumpang, ramai antaranya baru pulang selepas meraikan perayaan Hindu Dashain.
Perdana Menteri, Sushila Karki berkata agensi kerajaan ‘bersedia sepenuhnya untuk menjalankan operasi menyelamat dan bantuan.’
“Keselamatan awda adalah keutamaan kami. Jangan teragak-agak untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan,” katanya dalam ucapan yang disiarkan, sambil mengumumkan hari ini dan esok sebagai cuti umum, serta menasihati orang ramai supaya tidak melakukan perjalanan kecuali perlu.
Di India, sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh di daerah pengeluar teh Darjeeling di negeri Bengal Barat selepas hujan lebat pada malam Sabtu mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh yang memusnahkan rumah serta infrastruktur. – AFP

