KUALA LUMPUR, 4 NOV – Insiden tanah runtuh yang berlaku di Lembah Maju, Pandan Indah pada 12 Oktober lepas berulang lagi apabila sebuah kereta jenis Proton Saga terjatuh ke dalam tebing di lokasi sama kira-kira 3:30 pagi tadi.
Mangsa, Adrian Untam, 44, seorang pemandu e-hailing sepenuh masa berkata beliau terkejut apabila menerima panggilan telefon dari jirannya yang memaklumkan bahawa keretanya telah terjatuh akibat tanah runtuh itu.
’Saya parkir kereta saya selepas balik kerja sekitar 9 malam semalam dan hujan belum mula. Kira-kira pukul 3:30 pagi, jiran hubungi saya dan beritahu kereta saya telah jatuh. Saya sangat sedih sebab itulah (kereta) satu-satunya sumber pendapatan saya,” katanya ketika ditemui pemberita.
Sementara itu, seorang penduduk Taman Lembah Maju, Shaik Mohamed Sadiq Ali, 38, berkata beliau tidak menyangka kejadian tanah runtuh berlaku sekali lagi di lokasi yang sama.
Beliau berkata insiden tanah runtuh seperti itu tidak pernah berlaku sepanjang 30 tahun beliau tinggal di kawasan itu, tetapi kini bimbang akan keselamatan dirinya dan penduduk lain, terutamanya apabila hujan lebat.
Pada 12 Oktober lepas, hujan lebat berterusan telah menyebabkan dua kenderaan hampir jatuh ke dalam longkang selepas tebing sungai di lokasi sama runtuh.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Yew Jia Haur yang melawat kawasan itu mengesahkan kawasan parkir kenderaan awam berdekatan dengan lokasi kejadian tanah runtuh itu ditutup sementara waktu bagi memberi laluan untuk kerja pembaikan.
Beliau berkata Air Selangor akan menyediakan enam tangki statik serta lori-lori tangki air diminta bersedia untuk bantu membekalkan air kepada penduduk yang terkesan. – Bernama