Wednesday, February 12, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tanah runtuh di Georgia, 16 maut

    TBILISI, 6 OGOS – Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan puluhan orang hilang selepas tanah runtuh di sebuah bandar peranginan di barat laut Georgia, kata pegawai, kelmarin.

    Tanah runtuh berlaku pada Khamis di Shovi, sebuah bandar peranginan kecil di barat laut pergunungan Georgia yang terkenal dengan hutannya yang luas dan mata air mineral.

    “Enam belas mayat telah ditemui di kawasan bencana dan proses pengecaman mereka sedang dijalankan,” kata Teimuraz Mghebrishvili, dari kementerian dalam negeri.

    Gambar menunjukkan pekerja penyelamat mengutip serpihan yang sebahagiannya tertimbus oleh tanah, manakala pasukan berusaha untuk mengalihkan tanah.

    “Sebuah jambatan besi di atas sungai telah disusun, yang membolehkan kami membawa semua peralatan yang diperlukan ke kawasan bencana,” kata Mghebrishvili.

    Lebih 200 orang telah dipindahkan dari kawasan tersebut, kata pegawa, kelmarin, ketika helikopter dan anjing penyelamat dihantar untuk membantu usaha mencari.

    Shovi, terletak di lembah terpencil kira-kira 140 kilometer (87 batu) barat laut ibu kota Tbilisi, terletak di pertemuan dua sungai.

    Palang Merah melaporkan bahawa jambatan dan jalan raya di kawasan itu telah musnah.

    Salah seorang mangsa yang terselamat berkata dia menghabiskan dua jam setengah tertimbus dalam tanah runtuh.

    “Kami tiba-tiba mendengar bunyi dentuman yang mengerikan, dan pokok-pokok mula tumbang di sekeliling kami,” kata Mariam Beranidze, seorang pelajar berusia 25 tahun, memberitahu AFP.

    Dia berkata dalam catatan sebelum ini di media sosial bahawa dia melihat tiga orang hanyut di depan matanya.

    “Secara ajaib kami selamat,” katanya kepada AFP. – AFP

     Usaha mencari sedang dijalankan di tapak tanah runtuh di bandar Shovi di barat laut Georgia, 5 Ogos. – AFP

    Ikuti berita lanjut dalam Edisi Ahad (Media Permata)

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda