JAKARTA, 20 NOV – Pasukan penyelamat menemui lebih banyak mayat dalam pencarian mangsa yang tertimbus di bawah tanah runtuh di dua kawasan di pulau utama Indonesia, Jawa, menjadikan jumlah kematian yang disahkan kepada 23, kata pegawai hari ini.
Pekerja menggali bertan-tan lumpur dan runtuhan dengan hampir dua dozen jengkaut di daerah Cilacap, wilayah Jawa Tengah, menemui empat mayat kelmarin selepas tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat minggu lalu melanda berpuluh-puluh rumah di tiga buah kampung, kata Abdul Muhari, jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Negara.
Penemuan itu meningkatkan jumlah kematian kepada 20 mangsa di kawasan itu. Beliau berkata pencarian tiga orang yang masih hilang sedang diteruskan.
Pegawai tempatan juga berkata 296 rumah akan dipindahkan dari kawasan yang mudah berlaku tanah runtuh dalam tempoh enam bulan akan datang, dan setiap keluarga yang menunggu rumah baharu akan menerima pampasan sebanyak 600,000 rupiah sebulan.
Anggota penyelamat juga mengeluarkan seorang mayat daripada tanah runtuh di bahagian lain di Jawa Tengah kelmarin, menjadikan jumlah korban di sana kepada tiga orang.
Lebih 500 anggota penyelamat telah dikerahkan untuk mencari 25 orang yang dilaporkan hilang selepas tanah runtuh melanda sebahagian daerah Banjarnegara pada hari Sabtu, menimbus sekurang-kurangnya 54 buah rumah dan menyebabkan hampir 1,000 penduduk berpindah ke tempat perlindungan kerajaan, kata Muhari.
Imej yang dikeluarkan oleh agensi itu menunjukkan sawah padi hijau bertukar menjadi lumpur keruh dan anggota penyelamat menggali dengan jengkaut di kampung-kampung yang diliputi lumpur tebal, batu dan pokok yang tumbang.
Hujan lebat bermusim menyebabkan tanah runtuh dan banjir yang kerap berlaku di Indonesia, rangkaian 17,000 pulau di mana berjuta-juta orang tinggal di kawasan pergunungan atau di dataran banjir yang subur. – AP

