JAKARTA, 9 JAN – Sekurang-kurangnya dua orang maut dalam kejadian tanah runtuh di daerah Subang di wilayah Jawa Barat berikutan hujan lebat pada Ahad, lapor Xinhua.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) berkata seramai 80 penduduk kampung turut dipindahkan.
BNPB berkata seramai 11 orang yang cedera dalam kejadian itu telah dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan di hospital.
Tanah runtuh itu merosakkan beberapa bangunan, kolam memancing ikan dan sawah padi.
Pasukan penyelamat bersama telah membina pusat gerakan operasi untuk mengurangkan kesan bencana selain menyediakan makanan dan bekalan lain untuk mangsa yang dipindahkan.
Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia mengumumkan hujan lebat diramal di Subang pada Selasa.
BNPB menyeru orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan. – Bernama