YANGON, 14 OGOS – Tanah runtuh di lombong jed di utara Myanmar menyebabkan lebih 30 orang hilang, dan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan pada hari ini, kata seorang pegawai penyelamat.
Insiden itu berlaku di Hpakant, sebuah bandar pergunungan terpencil di negeri Kachin kira-kira 950 kilometer (600 batu) di utara bandar terbesar Myanmar, Yangon. Kawasan itu adalah pusat lombong jed terbesar dan paling menguntungkan di dunia.
Ketua pasukan penyelamat tempatan yang menyelaraskan usaha mencari memberitahu The Associated Press pada hari ini bahawa lebih 30 pelombong yang sedang menggali jed telah dihanyutkan ke dalam tasik apabila tanah runtuh melanda berhampiran kampung Manna sekitar jam 3:30 petang, kelmarin. Beliau bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana takut ditangkap oleh tentera.
Tanah dan serpihan dari beberapa lombong berhampiran kampung itu merosot 304 meter (kira-kira 1,000 kaki) ke bawah tebing ke dalam tasik di bawah dan menimpa pelombong dalam perjalanan, katanya.
Beliau berkata 34 orang disahkan hilang dan pasukan penyelamat tempatan sedang mencari tasik itu pada hari ini. Lapan pelombong cedera dan dibawa ke hospital tempatan kelmarin, katanya.
Seorang pelombong yang enggan dikenali kerana bimbang keselamatannya berkata, tiga rakannya yang sedang menggali jed telah dibawa turun ke dalam tasik oleh tanah runtuh. Katanya, kebanyakan mangsa adalah lelaki.
Kemalangan yang serupa biasanya berlaku dalam skala yang lebih kecil dan tidak mendapat perhatian.
Mangsa biasanya adalah pelombong bebas yang menetap berhampiran timbunan gergasi tanah terbuang yang telah digali oleh jentera berat yang digunakan oleh syarikat perlombongan. Mereka mencari cebisan jed dan biasanya bekerja dan tinggal di lubang perlombongan terbiar di dasar timbunan tanah yang tidak stabil. Kebanyakan pelombong adalah pendatang tidak berdaftar dari kawasan lain. – AP


