JAKARTA, Indonesia (AP) — Tanah runtuh susulan hujan lebat di pulau Jawa, Indonesia telah mengorbankan dua orang dan menyebabkan 21 yang lain masih hilang, kata pegawai hari ini.
Hujan lebat selama beberapa hari di rantau tersebut sebabkan tanah runtuh yang melanda berpuluh-puluh rumah di tiga buah kampung di wilayah Jawa Tengah, Indonesia petang kelmarin, kata pegawai dalam satu kenyataan.
“Keadaan tanah yang tidak stabil menimbulkan cabaran bagi pasukan mencari dan menyelamat dalam mencari mangsa. Walau bagaimanapun, pasukan gabungan meneruskan usaha mencari dan menyelamat mereka pada pagi ini,” kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Negara, Abdul Muhari dalam kenyataan itu.
Beliau menambah bahawa peralatan berat telah dikerahkan untuk mempercepatkan operasi.
Rakaman yang dikeluarkan oleh Agensi Mencari dan Menyelamat Negara menunjukkan penyelamat mencari mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan rumah.
Penyelamat menggunakan peralatan berat, peralatan pengekstrakan dan peralatan manual untuk mencapai ke kawasan yang sukar.
Hujan lebat bermusim dari sekitar Oktober hingga Mac kerap menyebabkan banjir dan tanah runtuh di Indonesia, sebuah kepulauan yang mempunyai 17,000 pulau di mana berjuta-juta orang tinggal di kawasan pergunungan atau berhampiran dataran banjir yang subur.
Januari lalu, lebih daripada 20 penduduk terbunuh selepas hanyut dalam banjir dan tanah runtuh selepas hujan lebat di wilayah Jawa Tengah. – AP


