HANOI, 17 NOV — Satu kejadian tanah runtuh telah melanggar sebuah bas penumpang di laluan gunung yang berbahaya di Vietnam, mengorbankan enam mangsa dan mencederakan 19 yang lain.
Tanah dan batu-batu runtuh menimpa bas lewat kelmarin ketika ia melalui jalan Khanh Le di kawasan tanah tinggi tengah, lapor media kerajaan.
Laluan berliku sepanjang 33 kilometer di lereng gunung yang curam itu sememangnya indah dan popular di kalangan pelancong tetapi terdedah kepada tanah runtuh pada masa hujan lebat diramalkan turun minggu ini.
Tanah runtuh itu meremukkan bahagian hadapan bas, dan memerangkap ramai penumpang. Penyelamat bergelut selama berjam-jam untuk sampai ke tempat kejadian setelah akses dihalang tanah runtuh akibat hujan lebat. Pasukan penyelamat hanya dapat sampai ke bas selepas tengah malam, kata media kerajaan.
Bas itu membawa 32 orang dari Bandar Raya Ho Chi Minh dan dalam perjalanan dari Da Lat ke bandar pesisir pantai Nha Trang.
Penumpang yang cedera telah dibawa ke hospital berdekatan. Media turut laporkan terdapat dua mayat masih terperangkap di bawah runtuhan dan operasi menyelamat dihalang bentuk muka bumi yang berbahaya.
Hujan lebat menyebabkan banjir dan tanah runtuh di kawasan pergunungan bandar Hue kelmarin, menyekat lebuh raya utama yang menghubungkan utara ke selatan Vietnam dan memutuskan hubungan dengan beberapa kampung.
Vietnam adalah antara negara yang paling kerap dilanda banjir dengan hampir separuh penduduknya tinggal di kawasan berisiko tinggi. Saintis memberi amaran bahawa iklim yang semakin panas meningkatkan ribut dan hujan di seluruh Asia Tenggara, menjadikan banjir dan tanah runtuh semakin kerap berlaku dan akibatkan banyak kerosakan. – AP

