BATANG KALI, 16 DIS – Kira-kira 21 orang, termasuk empat kanak-kanak, terkorban apabila tanah runtuh melanda tapak perkhemahan di sebuah ladang Malaysia hari ini, dengan pasukan penyelamat masih melakukan pencarian mangsa hilang di kawasan berlumpur.
“Seramai 21 mangsa tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm di sini disahkan meninggal dunia setakat jam 7:10 malam ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis turut mengongsikan, dua daripada mangsa ‘dipercayai sebagai ibu dan anaknya dalam keadaan berpelukan tertimbus di bawah tanah’.
Menurutnya, mayat ke-17 dan 18 itu ditemui di tapak perkhemahan Gohtong Jaya bersebelahan sungai pada jam 4:40 petang.
“Pada jam 5 petang pula, pasukan penyelamat menjumpai satu lagi mayat berhampiran kawasan sama,” katanya pada sidang media di lokasi tersebut.


Sementara itu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, 61 orang setakat ini ditemui selamat selepas kejadian tanah runtuh sebelum subuh dekat bandar Batang Kali, luar Kuala Lumpur dan berhampiran pusat peranginan gunung.
Veronica Loi, yang berkhemah di tapak itu semalaman dan terselamat daripada tanah runtuh, memberitahu AFP bahawa keluarganya sedang tidur apabila mereka tiba-tiba mendengar bunyi yang kuat.
“Kami melihat khemah di sebelah kami telah lenyap sama sekali,” katanya.
Ratusan kakitangan kerajaan termasuk polis dan penyelamat dilihat berada di pintu pagar menuju ke perkarangan tapak perkhemahan, manakala sebuah jengkaut dilihat memasuki kawasan itu dari jalan utama.
Pihak berkuasa berkata usaha menyelamat akan diteruskan tetapi jika hujan turun, mereka terpaksa berhenti.
Ladang di mana tapak perkhemahan itu terletak – Father Organic Farm – menukar gambar profil Facebooknya kepada serba hitam hari ini.
Nga berkata ‘tapak perkhemahan itu beroperasi tanpa lesen’ dan pengusaha akan dihukum jika didapati bersalah oleh mahkamah.
Video dan gambar yang tular dalam talian menunjukkan pokok-pokok besar tumbang dengan kenderaan remuk, serta anggota mencari dan menyelamat memakai lampu kepala dan menggali dengan penyodok untuk mencari mangsa-mangsa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mengarahkan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah untuk mengeluarkan arahan keselamatan agar semua tapak perkhemahan dan kawasan rekreasi air ditutup sehingga diberitahu kelak. – AFP/Bernama

