Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tanah runtuh ragut 13 nyawa

    ABIDJAN, 19 JUN – Seramai 13 orang disahkan mati sementara yang lain termasuk kanak-kanak hilang dan dikhuatiri mati dalam kejadian tanah runtuh dan hujan lebat yang meranapkan rumah serta menggantung laluan kereta api di pinggir bandar utama Ivory Coast, Abidjan.

    Beberapa kanak-kanak turut mati atau hilang di pinggir bandar Anyama.

    Ketua Majlis Daerah Abidjan, Vincent Toh Bi berkata angka kematian terkini adalah 13 orang dan 10 orang dimasukkan ke hospital dengan 20 rumah musnah sepenuhnya.

    Beliau berkata usaha pencarian masih diteruskan.

    “Saya kehilangan anak lelaki berusia tiga tahun dan masih mencari mayatnya,” kata Aboubacar Dagnon selepas rumahnya musnah sambil menambah bahawa sebuah terowong saliran sudah tersumbat selama berbulan-bulan hingga menyebabkan takungan air terbentuk.

    Sementara itu, seorang penduduk lain mengatakan sebahagian bukit pecah dan runtuh menghempap rumah sekitar jam 8 pagi selepas saluran saliran roboh.

    Musim hujan yang bermula Mei dan berakhir Julai kerap menyebabkan berlaku tanah runtuh dan banjir di Abidjan, iaitu kawasan pengeluar koko tertinggi di dunia, mengakibatkan malapetaka di kampung kecil yang terbentuk di lereng bukit yang terhakis di bandar tepi laut yang beralun.

    Bandar itu mempunyai kira-kira lima juta penduduk, kebanyakannya tinggal di kawasan penempatan yang tidak menentu di kawasan yang mudah dilanda banjir atau berbahaya. – AFP

    Penduduk mencari mangsa yang selamat dan mayat di tapak runtuhan tanah yang membunuh 13 orang pada 18 Jun di Anyama, berhampiran Abidjan. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda