HANOI, 19 MEI – Satu kejadian tanah runtuh susulan banjir kilat di kawasan pergunungan di utara Vietnam telah meragut empat nyawa, menurut kenyataan kerajaan hari ini, ketika ahli kaji cuaca memberi amaran tentang hujan lebat berterusan.
Tanah runtuh tersebut berlaku awal pagi kelmarin di daerah Ba Be, wilayah Bac Kan, selepas hujan lebat melanda kawasan itu pada Sabtu.
“Kami terdengar bunyi yang sangat kuat seperti letupan dari puncak gunung. Kemudian, tanah, batu dan air mengalir deras dari gunung,” kata pegawai tempatan, Tieu Xuan Tai, seperti yang dipetik dalam kenyataan laman web rasmi kerajaan.
Menurut Tai, penduduk tempatan sebenarnya sudah menyedari kewujudan rekahan selebar dua meter di puncak gunung tersebut yang muncul beberapa tahun lalu.
Pihak berkuasa wilayah telah mengeluarkan amaran kepada orang ramai dan mengarahkan pemeriksaan keselamatan segera bagi komuniti yang tinggal berhampiran sungai, anak sungai dan kawasan lain yang berisiko tinggi berlaku tanah runtuh.
Penduduk yang berada dalam kawasan berisiko juga mesti dipindahkan serta-merta, tegas pihak berkuasa.
Pusat ramalan cuaca memaklumkan bahawa jumlah hujan di kawasan itu pada bulan ini adalah lebih tinggi daripada biasa dan hujan lebat dijangka terus melanda wilayah utara dan tengah negara.
Vietnam terdedah kepada ribut tropika yang sering menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh yang membawa maut, walaupun lazimnya kejadian ribut berlaku antara bulan Jun hingga November.
Pakar-pakar turut memberi amaran bahawa perubahan iklim yang didorong oleh aktiviti manusia menyebabkan corak cuaca menjadi semakin ekstrem sekali gus meningkatkan risiko bencana seperti banjir besar. – AFP
