Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tanah runtuh timbus rumah di lembah Alp, puluhan dipindah

    VIENNA, 1 JULAI – Puluhan penduduk telah dipindahkan menggunakan helikopter di Austria hari ini selepas tanah runtuh menimbus beberapa kediaman dan pondok gunung di Lembah Gschnitztal di Tyrol, barat daya negara Alp itu.

    Angkatan Tentera Austria menggunakan helikopter Black Hawk untuk menerbangkan kira-kira 100 orang dari kampung Gschnitz dan tiga buah pondok gunung yang terletak lebih tinggi. Ribut petir yang teruk kelmarin mencetuskan tanah runtuh, menyebabkan rumah-rumah ditenggelami air dan dipenuhi runtuhan. Jalan-jalan menuju ke rumah-rumah tersebut tidak boleh dilalui.

    Pondok gunung Bremerhutte, Innsbruckerhutte dan Tribulaunhutte juga tidak dapat diakses melalui laluan pendakian akibat tanah runtuh, menurut Elmar Rizzoli, ketua Pusat Pengurusan Krisis dan Bencana Tyrol kepada penyiar awam Austria, ORF.

    Komander bomba tempatan, Lukas Braunhofer memberitahu ORF bahawa selepas salah satu daripada beberapa kejadian tanah runtuh mengenai kampung Gschnitz sekitar jam 6 petang kelmarin, anak sungai Gschnitzbach turut melimpah, mendorong banjir di kawasan itu.

    Menurut Braunhofer, kejadian tanah runtuh tersebut tidak menyebabkan sebarang kecederaan, namun mengakibatkan kerosakan besar. Antara yang terjejas termasuk sebuah muzium terbuka yang memfokuskan kepada sejarah kilang air.

    Sementara menunggu pemindahan, penduduk diminta kekal di dalam rumah, tidak memasuki garaj bawah tanah atau ruang bawah tanah dan menjauhi empangan di kawasan anak sungai.

    “Kami sedang memantau situasi ini de-ngan teliti dan sentiasa berhubung dengan agensi kecemasan,” kata Rizzoli.

    Pada Mei lalu, sekitar 300 orang terpaksa dipindahkan dari perkampungan Alp Blatten di Switzerland, hanya beberapa hari sebelum bongkah besar batu dan ais dari glasier menggelongsor dari lereng gunung, menghamburkan debu ke udara dan meliputi hampir keseluruhan Blatten dengan lumpur. – AP

    Tanah runtuh menimbus rumah dan jalan di lembah Gschnitztal di Tyrol, Austria, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda