Tanah Sungai Segama dijadikan koridor hidupan liar

KOTA KINABALU, 9 DIS – Pihak Tabung Hutan Badak Sumbu (RFF) telah menandatangani satu dokumen dengan seorang pemilik tanah, Khoo Chin Hung, yang terletak di Sungai Segama di Kinabatangan, Sandakan untuk menjadikan tanah itu sebagai satu koridor hidupan liar dan pemuliharaan dengan keluasan tanah kira-kira 32 hektar.

Pengarah eksekutif RFF, Robert Risch berkata, majlis menandatangani itu sebagai kunci bagi mengiktiraf kerjasama erat antara Jabatan Hutan dan RFF serta disokong oleh Jabatan Tanah dan Perlindungan Hidupan Liar dan Perlindungan Hutan di Sabah.

“Kawasan Tabin adalah kawasan utama kelangsungan kehidupan liar Borneo yang terpencil pada masa sekarang, jadi satu-satunya pilihan bagi menghalang lebih banyak spesies daripada hilang atau pupus ialah dengan mengumpulkan habitat berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani dokumen itu yang disaksikan oleh Ketua Pemuliharaan Hutan, Datuk Mashor Mohd Jaini di sini, hari ini.

Robert berkata, pada masa sekarang RFF mempunyai 65 hektar untuk

tujuan pemuliharaan yang kebanyakannya pokok kelapa sawit dan tanah yang menghubungkan seluas 200 hektar dengan kawasan lain. – Bernama