Saturday, December 28, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tanah susur: 2 maut, 8 cedera

    LANDI KOTAL, PAKISTAN, 18 APRIL – Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan lapan cedera dalam satu bencana tanah susur pada waktu subuh yang menguburkan puluhan trak yang sedang menunggu untuk melintasi sempadan Pakistan-Afghanistan, kata pegawai hari ini.

    Pasukan penyelamat bimbang terdapat lebih ramai yang mungkin terperangkap dalam runtuhan, sama ada dalam keadaan hidup atau mati. Anjing pengesan telah dikerahkan ke tempat kejadian sementara pekerja dengan berhati-hati menggunakan jentera berat untuk mengalihkan sisa runtuhan.

    Tanah susur berlaku di pos sempadan Torkham, yang merupakan titik transit perdagangan yang paling sibuk dan penting antara kedua-dua negara, ketika lebih 120 trak sedang menunggu untuk melintas.

    “Kami telah menemui dua mayat dan telah membawa lapan yang cedera ke hospital,” kata Bilal Faizi, jurucakap perkhidmatan kecemasan Rescue 1122 kepada AFP.

    Beliau berkata tidak jelas berapa ramai yang mungkin terperangkap di bawah runtuhan, tetapi beberapa orang yang terselamat melaporkan menerima panggilan telefon daripada rakan sekerja.

    Askar separa tentera berkawal ketika pihak berkuasa menggunakan jentera berat untuk mencari mangsa yang terselamat dan membersihkan runtuhan berikutan tanah susur, kelmarin. – AP

    “Mereka tidak menerima panggilan lagi, mungkin bateri telefon bimbit mereka yang terperangkap dalam runtuhan sudah habis, atau mungkin ada sebab lain,” kata Faizi kepada AFP.

    Kebakaran berlaku selepas tanah susur, yang melanda kira-kira 120 meter dari lintasan sempadan utama.

    Pemandu dan pembantu mereka sedang memasak makanan sebelum subuh menggunakan dapur gas sebagai persediaan untuk berpuasa dalam bulan suci Ramadan.

    “Api berjaya dikawal sekarang. Operasi menyelamat masih berjalan dengan bantuan ekskavator dan jentera berat lain,” tambah Faizi.

    Punca kejadian tanah susur masih belum jelas, tetapi seorang pegawai berkata jentera berat telah digunakan dalam projek pembangunan di bukit-bukau di sekitar pos sempadan selama beberapa bulan. Hujan lebat semalaman mungkin juga menyumbang kepada kejadian ini, kata pegawai tersebut, Ali Raza.

    Pihak berkuasa telah menutup lintasan sempadan kepada trak dan kenderaan lain, tetapi ia masih dibuka untuk pejalan kaki, kata Raza. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda