Oleh Sim Y. H.
TEMBURONG, 29 SEPT – Hujan lebat yang melanda negara kebelakangan ini mengakibatkan kejadian tanah susur di Kampung Lakiun, Temburong membabitkan rumah milik warga tempatan.
Bagaimanapun, kejadian pada 28 September itu tidak mendatangkan sebarang kecederaan kepada penghuni rumah terbabit.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini menjelaskan, empat orang anggota bomba dan penyelamat dari Pasukan A, Balai Bomba Bangar diketuai oleh ABKS 136 Asri bin Bakri telah menghadiri panggilan tanah susur di kawasan tersebut.
Turut hadir ialah Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi G, SSFR Haji Afiq bin Haji Julah dan Stesen Komander Balai Bomba Bangar, SO Jamaludin bin Ahmad.
Anggota bomba dan penyelamat yang tiba di tempat kejadian, mendapati tanah susur berlaku berikutan hujan lebat pada malam sebelumnya.
Sehubungan itu, bagi langkah-langkah keselamatan, anggota bomba dan penyelamat bertindak memasang kanvas di kawasan yang terjejas serta seterusnya diserahkan pada Jabatan Kerja Raya untuk tindakan selanjutnya.