Saturday, December 28, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tanah susur ragut 33 nyawa

    COLOMBIA, 14 JAN – Pasukan pencari dan penyelamat sedang bekerja keras untuk mencari mangsa yang masih hidup daripada tanah susur yang meragut sekurang-kurangnya 33 nyawa, kebanyakannya kanak-kanak, di barat laut Colombia, kata naib presiden negara itu kelmarin.

    “Saya amat kesal dengan kematian 33 orang dalam tragedi ini, kebanyakannya kanak-kanak, menurut laporan awal,” tulis Naib Presiden, Francia Marquez di laman media sosial X.

    Pasukan pencari dan penyelamat termasuk anggota bomba, askar dan penduduk tempatan – meredah lumpur dan runtuhan untuk mencari mangsa yang masih hidup, manakala ahli keluarga berdiri berhampiran, ada yang menangis teresak-esak, yang lain berpelukan dengan sebak.

    Pasukan pencari dan penyelamat menggunakan pengusung untuk membawa keluar mayat, manakala sebuah helikopter berlegar di udara.

    “Saya tidak tahu apa yang harus difikirkan, saya bimbang, mencari ahli keluarga saya,” kata Andres Asprilla kepada AFP. Beliau berkata empat ahli keluarganya hilang.

    Terdahulu, pihak berkuasa telah menetapkan jumlah korban dalam tanah susur pada Jumaat, yang melanda jalan raya yang menghubungkan bandar Medellin dan Quibdo di negeri Choco, pada 23 maut dan 20 cedera.

    Semua sumber yang ada dihantar ke kawasan itu, kata Presiden Gustavo Petro di media sosial pada Jumaat.

    Sehingga awal Sabtu, 17 mayat telah dibawa ke bilik mayat dan pakar perubatan forensik telah mengenal pasti lima daripadanya, kata pihak berkuasa.

    Tanah susur di Choco, yang terletak di Lautan Pasifik, berlaku selepas lebih 24 jam hujan lebat. – AFP

    Gambar edaran oleh Pejabat Akhbar Tentera Colombia ini menunjukkan pasukan penyelamat mencari mangsa yang masih hidup dalam kejadian banjir lumpur yang mengorbankan beberapa orang dan menyebabkan berpuluh-puluh cedera, di barat Colombia, pada 13 Januari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda