Tanai patriotisme dalam diri pelajar

TUTONG, 24 JAN – Cawangan Penerangan Daerah Tutong dan Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Jabatan Penerangan baru-baru ini mengadakan Program Taklimat Kenegaraan Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam di Dewan Sekolah Menengah Sayyidina Othman, Tutong.

Seramai 126 orang pelajar Tahun 7 dan tenaga pengajar sekolah berkenaan menghadiri taklimat yang antara lainnya bertujuan menyemai rasa cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara.

Ia juga dihasratkan mengukuhkan semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan tinggi dalam diri penuntut selain usaha berterusan Jabatan Penerangan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan pelajar di negara ini.

Taklimat disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan selaku Ketua Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Pengiran Haji Ahmad Fadhillah Akhbar bin Pengiran Haji Sallehuddin yang antara lain menyentuh mengenai raja, tatacara menaik-kibarkan bendera dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan terperinci.

Ia juga diisikan dengan klip video kibarkan bendera, semarak pengibaran bendera dan video animasi menaikkan bendera negara serta kuiz dan penyampaian hadiah kepada pelajar yang berjaya menjawab kuiz.

Antara pelajar SM Sayyidina Othman yang menghadiri taklimat kenegaraan tersebut. – Gambar oleh Infofoto