Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Pasukan Gabungan Pentadbiran dan Kewangan bersama Perhubungan Awam, Sumber dan Sukarelawan telah menjuarai Kejohanan Futsal Antara Bahagian-bahagian di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) yang berlangsung di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, pagi tadi.
Pada perlawanan akhir itu, Pasukan Gabungan Pentadbiran dan Kewangan, bersama Perhubungan Awam, Sumber dan Sukarelawan berjaya menumpaskan Pasukan Kompleks Rumah Kebajikan dengan jaringan 2-0. Sementara itu, tempat ketiga bersama ialah Pasukan Bantuan Am dan Pasukan Residen Kompleks Rumah Kebajikan.
Hadir bagi menyaksikan dan seterusnya menyampaikan piala, pingat dan sijil kepada para pemenang kejohanan ialah Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Rostinah binti Pehin OKSSP Dato Paduka Haji Mohd Tahir.
Kejohanan sehari yang dianjurkan buat kali ke-12 ini disertai oleh lima buah pasukan iaitu Pasukan Gabungan Pentadbiran dan Kewangan bersama Perhubungan Awam, Sumber dan Sukarelawan, Pasukan Bantuan Kebajikan Am, Pasukan Keluarga, Wanita, Kanak-kanak, dan Kaunseling, Pasukan Kompleks Rumah Kebajikan dan Pasukan Residen Kompleks Rumah Kebajikan.
Juara kejohanan menerima pingat dan piala rebutan yang disumbangkan oleh pengarah pembangunan masyarakat. Kejohanan futsal ini merupakan aktiviti tahunan yang dikendalikan oleh bahagian-bahagian di jabatan ini secara bergilir-gilir.
Pada tahun ini, kejohanan ini telah dikendalikan oleh Bahagian Kompleks Perlindungan, Pemulihan dan Probesyen.
Antara tujuan kejohanan ini diadakan adalah untuk mewujudkan gaya hidup sihat dalam kalangan para pegawai dan kakitangan melalui aktiviti sukan yang diadakan. Kejohanan ini juga bertujuan untuk menanai semangat kerjasama berpasukan di antara para ahli dalam pasukan dan juga di antara bahagian masing-masing, di samping untuk mengukuhkan hubungan silaturahim yang sedia ada di antara pegawai dan kakitangan jabatan dan juga kementerian.
