Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Seramai 140 orang murid Sekolah Cahaya Bina Insan telah menyertai acara Rentas Desa dan Sukaneka yang diadakan di kawasan sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Acara yang merupakan aktiviti tahunan sekolah berkenaan antara lain bertujuan membina kecergasan fizikal dan mental pelajar melalui aktiviti sukan, menambah ilmu pengetahuan murid dan warga sekolah mengenai alam sekitar dan mewujudkan semangat perpaduan serta semangat berjuang dalam kalangan murid dan guru melalui pertandingan antara rumah-rumah sukan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara tersebut ialah pengarah urusan sekolah berkenaan, Awang Syamsulbaharin bin Abdul Rahman.
Pelajar dibahagikan kepada tiga warna rumah iaitu Bani Mu’awiyah (hijau), Bani Abbasiyah (kuning) dan Bani Uthmaniyah (merah).
Dalam acara rentas desa, pelajar rendah membuat larian sejauh 2.5 kilometer manakala pelajar tadika pula sejauh 1.5 kilometer. Muncul juara dalam acara itu ialah rumah Bani Abbasiyah (kuning).
