Wednesday, February 12, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tanai tanggungjawab agih kurma dengan sebaiknya

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 FEB – Sistem pengagihan buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam diharap akan dapat terus diperbaiki agar ia akan dapat dilaksanakan dengan sempurna dan jayanya seperti yang dihasratkan oleh Baginda.

    Perkara tersebut ditekankan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, selaku Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) semasa berkenan mengurniakan sabda pada Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena bulan Ramadan 1446 Hijrah / 2025 Masihi, di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan, pagi tadi.

    “Ini kerana adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan amanah yang dipertanggungjawabkan itu dapat ditanai dengan sebaiknya,” tekan Duli Yang Teramat Mulia.

    Duli Yang Teramat Mulia dalam sabdanya turut merafakkan kesyukuran, kerana dengan izin Allah SWT, kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia terus berpeluang menikmati buah kurma kurnia peri-badi Baginda sebagai juadah berbuka di bulan Ramadan yang tidak lama lagi menjelang.

    Sementara itu, Duli Yang Teramat Mulia juga dengan sukacita merakamkan penghargaan dan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Yayasan, kementerian dan jabatan kerajaan, pegawai-pegawai daerah, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Radio Televisyen Brunei, Jabatan Penerangan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan, para sukarelawan serta semua lapisan masyarakat yang terlibat yang telah bekerjasama dengan padu dan kukuh dalam mengurus dan mengendalikan amanah dan tanggungjawab yang berkebajikan ini dengan jayanya.

    Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan sabda semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena bulan Ramadan 1446 Hijrah / 2025 Masihi, di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH: Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengagihkan kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi semasa menyampaikan sembah alu-aluan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH : Antara yang hadir di majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    “Semua ini setentunya tidak akan dapat terlaksana tanpa adanya usaha gigih dan bersepadu daripada setiap anggota masyarakat,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

    Sempena bulan Ramadan yang bakal menjelang, sejumlah 159.5 tan metrik buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia jenis safawi akan dibahagikan kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di seluruh negara.

    Setiap umat Islam yang menetap di negara ini tanpa mengira had umur dan taraf kerakyatan akan menerima kurnia buah kurma mereka di mana setiap seorang akan menerima satu kotak kecil kurma yang mengandungi 300 gram.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dibacakan oleh Imam Jame’ Asr Hassanal Bolkiah, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustapa bin Haji Murat.

    Majlis diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

    Dalam sembah alu-aluannya, Yang Berhormat Pehin berkata, pada tahun ini, Yayasan telah membuat pembelian kurma dari syarikat pembekal di Riyadh, Arab Saudi iaitu Syarikat Al Mohamadia Dates, yang keseluruhannya berjumlah sebanyak 531,666 kotak kecil.

    Seperti tahun lalu, penghantaran kurma kali ini adalah kali kedua menggunakan jalur Pelabuhan Dammam, Arab Saudi berikutan krisis berlarutan hingga kini di persekitaran Laut Merah. Penghantaran kurma tahun ini, menggunakan kapal laut dengan dua kali pelayaran yang membawa keseluruhan 11 unit kontena berhawa dingin.

    “Pengurniaan kurma tahun ini adalah masuk tahun ke-30 sejak tahun 1995 Yayasan telah diamanahkan untuk menguruskan pengendaliannya dan Alhamdulillah sehingga kini, pengagihannya telah dilaksanakan dengan sempurna dan teratur.

    “Ini adalah atas usaha dan kerjasama padu jabatan-jabatan daerah melalui penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, ABDB, PPDB dan sebahagian syarikat-syarikat swasta,” tambah Yang Berhormat Pehin.

    Seterusnya Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyempurnakan pengagihan buah-buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada wakil-wakil pasukan beruniform, orang awam, penjawat awam (sektor kerajaan), pekerja swasta dan persatuan-persatuan saudara baharu. Pasukan beruniform diwakili oleh pemerintah-pemerintah tentera serta komandan ABDB dan pengarah-pengarah jabatan PPDB. Orang awam diwakili oleh pegawai-pegawai daerah serta sebahagian ketua-ketua kampung dari keempat-empat daerah. Penjawat awam dan pekerja sektor swasta diwakili oleh pengarah-pengarah jabatan pengurusan, pentadbiran dan tenaga manusia.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustapa.

    Hadir di majlis ini ialah ahli-ahli jemaah tadbir serta pengerusi dan ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Pemerintah ABDB, Pemangku Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, pegawai daerah, para pengarah dari kementerian-kementerian dan jabatan kerajaan dan sektor swasta yang terlibat dalam pengendalian pengagihan buah-buah kurma kurnia peribadi itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda