Saturday, April 26, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tanai tanggungjawab suami isteri bersama

    APAKAH tanggungjawab suami dan isteri dalam sesebuah perkahwinan menurut Islam? Di sini dikongsikan beberapa perkara yang mungkin dapat membantu anda dalam mengetahui dan memahami apakah tanggungjawab-tanggungjawab wajib yang harus dipikul oleh suami dan isteri:

    1.Hukum perkahwinan (munakahat)

    “Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah memenuhi separuh agamanya. Maka bertakwalah dia kepada Allah pada separuh (yang belum disempurnakan) lagi.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi)

    Kebahagiaan yang dikecapi oleh manusia yang terbit dari hati nurani tidak dapat diluahkan jika dia hidup bersendirian tetapi harus dikongsi bersama pasangan mengikut lunas-lunas peraturan tertentu.

    Justeru itu, Allah menjadikan makhluk-makhlukNya, khususnya manusia, fitrahnya suka pada ketenangan atau sakinah dengan kehidupan beristeri dan mempunyai keluarga. Hidup berkeluarga ini pada dasarnya lebih berkat, tenteram dan teratur berban-ding hidup berseorangan, membujang atau menyendiri.

    Hubungan suci seorang lelaki dan perempuan yang mukallaf melalui ikatan perkahwinan ini menggambarkan corak kehidupan sempurna yang diredai Allah SWT dan dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

    Rumah tangga yang dibina merupakan alam pertama yang boleh menentukan sejahtera atau tidaknya sesebuah masyarakat yang diwakili oleh individu-individu yang menyokongnya.

    Seandainya suasana sesebuah rumah tangga itu aman dan kasih-mengasihi antara satu dengan yang lain, maka Insya Allah akan tenteram dan sejahtera masyarakat.

    2.Tanggungjawab suami terhadap isteri dan keluarga

    Untuk menjamin keharmonian rumah tangga, Islam telah menetapkan tugas dan tanggungjawab suami dan isteri. Suami sebagai ketua keluarga khususnya, bertanggungjawab terhadap kesejahteraan isteri dan anak-anaknya. Antara tanggungjawab suami yang wajib adalah:

    -Memberi sara hidup kepada isteri seperti pemberian makanan dan tempat tinggal.

    -Memberi nafkah batin termasuklah menggauli isteri dengan baik.

    -Menyara anak-anak.

    -Melindungi isteri dan anak-anak dari segi ke-selamatan dan kesihatan.

    -Melindungi maruah keluarga dan harta benda.

    -Sentiasa membimbing isteri dengan ajaran Islam menuju keredaan Allah SWT.

    -Bertanggungjawab mendidik akhlak anak-anak dan memastikan mereka mendapat pendidikan Islam yang sempurna.

    -Menjadi penasihat dalam menyelesaikan masalah isteri, anak-anak dan jiran tetangga.

    Suami hendaklah sentiasa mengamalkan pergaulan yang baik dengan isteri, anak-anak dan orang lain. Mempunyai sifat bertolak ansur, pengasih, penyabar, pemaaf dan bertimbang rasa.

    3.Tanggungjawab seorang isteri

    Selain dari suami, isteri juga mempunyai tanggungjawabnya dalam sesebuah keluarga. Antara tanggungjawab isteri adalah:

    -Menjaga kehormatan diri terutama apabila suami tiada di rumah. Misalnya tidak membenarkan lelaki yang bukan mahram atau yang dibenci suami masuk ke dalam rumah.

    -Patuh terhadap suruhan suami (selagi bukan perkara maksiat) dan sentiasa suka melayan suami zahir dan batin.

    -Menumpukan sepenuh kasih sayang kepada suami dan anak-anak.

    -Menjaga kebersihan rumah tangga dan kesihatan diri serta anak-anak.

    -Menjaga amanah dan harta suami.

    -Sentiasa menyimpan rahsia pergaulan suami isteri.

    -Tidak meninggalkan rumah tanpa izin suami (kecuali dalam situasi darurat).

    -Berhias diri hanya untuk tatapan suami sahaja dan tidak untuk orang lain khususnya apabila berada di luar rumah. Ketika berada di khalayak ramai, si isteri harus pandai menjaga kesopanan dan sentiasa menutup aurat.

    4.Apakah rahsia dan hikmah perkahwinan?

    1. Perkahwinan dianggap sebagai salah satu daripada sunnah para nabi dan rasul. Firman Allah SWT maksudnya:

    “Demi sesungguhnya Kami (Allah) telah mengutuskan beberapa rasul sebelum kamu dan Kami menjadikan untuk mereka isteri-isteri dan keturunan.” (Surah ar-Ra’d, ayat 38)

    2. Kurniaan nikmat Allah kepada hamba-hambaNya agar menerusi perkahwinan akan lahir pula zuriat keturunan yang beriman dan bertakwa yang akan memakmurkan bumi Allah SWT.

    3. Perkahwinan dianggap sebagai suatu ibadah yang dapat menyempurnakan setengah daripada agama seseorang, dengan dia bertemu Allah dalam keadaan suci dan diredhai.

    4. Galakan nikah kahwin meliputi semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang miskin. Islam ingin mengikis rasa takut, tidak mampu memikul tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak kerana Allah menjamin rezeki mereka.

    5. Sebaik-sebaik jalan untuk memelihara maruah kesopanan diri seseorang ialah melalui perkahwinan. Rasulullah SAW bersabda:

    “Wahai para pemuda, sesiapa yang mampu bersetubuh atau berumahtangga, hendaklah dia berkahwin, kerana ia paling menundukkan penglihatan dan memelihara kehormatannya. Sesiapa yang tidak mampu, hendaklah dia berpuasa, maka sesungguhnya puasa itu adalah pemelihara (dapat mengekang keinginan nafsu syahwat) baginya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

    6. Dapat menyuburkan perasaan keibubapaan dalam memberi perlindungan, pendidikan dan kesejahteraan kepada anak-anak. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda