Sunday, May 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tanai tanggungjawab tangani cabaran semasa

    Oleh Pg Fairol RMF

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Para mahasiswa perlu menyiapkan diri dengan memikul tanggungjawab yang besar dalam sama-sama menangani cabaran masa depan negara yang terus berkembang maju, pesat serta membangun dalam semua aspek bernegara dan berbangsa.

    Perkara itu ditekankan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syar’ie selaku tetamu kehormat, Yang Arif Dato Seri Setia Haji Zaimi bin Haji Talip semasa Majlis Makan Malam Undang-Undang atau ‘Law Dinner’ yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, semalam.

    Beliau juga seterusnya berkata bahawa para mahasiswa merupakan aset yang amat berharga dan pemegang candik yang utama dalam usaha merealisasikan hasrat negara seterusnya pada mendaulatkan perlaksanaan undang-undang Allah Subhanahu Wa Ta’ala khususnya di negara ini.

    Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Hajah Hanan binti Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz, dalam ucapan alu-aluannya semasa acara tersebut menyatakan bahawa bidang undang-undang mempunyai liku-likunya yang sukar untuk dilalui berbanding dengan bidang-bidang yang lain.

    Tetamu kehormat menyampaikan ucaptama.
    Tetamu kehormat menyampaikan ucaptama.
    Tetamu kehormat bergambar ramai bersama pengamal undang-undang, pensyarah-pensyarah UNISSA dan ahli jawatankuasa acara tersebut.
    Tetamu kehormat bergambar ramai bersama pengamal undang-undang, pensyarah-pensyarah UNISSA dan ahli jawatankuasa acara tersebut.

    “Oleh itu, bakal-bakal penyandang kerjaya undang-undang adalah mustahak dari awal-awal lagi untuk dibekalkan dengan semangat dan keyakinan diri yang kuat, bagi memelihara dan mempertahankan keluhuran undang-undang di dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat”, ujarnya lagi.

    Acara yang merupakan aktiviti wajib bagi para mahasiswa dan mahasiswi program Dwi Ijazah Sarjana Muda Perundangan Syariah (BSL) sepanjang kursus pengajian di universiti tersebut turut dihadiri oleh Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal serta pengamal-pengamal undang-undang dari Pejabat Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Negara, Mahkamah-Mahkamah Syariah, dan juga firma-firma guaman.

    Acara tersebut juga antara lain bertujuan bagi membina hubungan dan jaringan di antara para mahasiswa dan mahasiwi UNISSA yang menjalani kursus undang-undang dengan pengamal undang-undang di negara ini.

    Selain itu, ia juga berhasrat untuk menjadi sebagai platform untuk memberikan pendedahan kepada para mahasiswa-mahasiswi untuk menerokai dunia guaman dengan interaksi secara berdepan (in-person) dengan individu-individu yang berpengalaman dalam bidang guaman sama ada sivil mahupun Syariah.

    Majlis tersebut diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang telah dibacakan oleh mahasiswa Fiqh Qada tahun dua, Awang Ahmad Hisyamuddin bin Haji Abdul Rahim dan diikuti dengan sesi bergambar ramai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda