Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Tanam minat generasi muda kumpul setem

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Para penggemar dan pengumpul setem tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan set-set Sampul Surat Rasmi Hari Pertama Keluaran Setem Tetap Baharu di cawangan-cawangan pejabat pos, hari ini.

    Keluaran Setem Tetap Baharu 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Pos (JPP), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) adalah bagi memperingati hari bersejarah Negara Brunei Darussalam yang menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan ke-40, hari ini.

    Media Permata berpeluang untuk membuat tinjauan penjualan setem tetap baharu dan sampul surat hari pertama di Pejabat Besar Pos Bandar Seri Begawan di mana salah seorang pengumpul setem pertama yang membuat pembelian ialah Haji Mohamad Hashim bin Haji Osman, seorang pengumpul dari Kuching, Sarawak, Malaysia yang kebetulan berada di negara ini bagi menghadiri majlis perkahwinan saudara.

    Haji Mohamad Hashim yang berusia 78 tahun menyatakan bahawa apabila mendapat tahu sampul surat hari pertama dan keluaran setem baharu mula dikeluarkan pada hari ini, beliau tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke pejabat pos bagi mendapatkan set sampul surat pertama bagi koleksi setemnya.

    Dalam temu bual ringkas bersama media, beliau menyatakan bahawa peluang bagi mendapatkan set sampul surat hari pertama berkenaan ketika berada di Brunei merupakan satu peristiwa bersejarah baginya kerana tidak menyangka akan beruntung untuk berada di negara ini bagi mendapatkan set setem berkenaan.

    Beliau telah mula mengumpul setem dari bangku sekolah lagi ketika berusia 13 tahun dan minat itu bermula daripada peristiwa di mana secara kebetulan telah menemui beberapa keping setem Charles Brooke di rumah neneknya lalu beliau menyimpan setem berkenaan dan bermulalah minatnya mengumpul setem.

    Sejak memulakan koleksinya, Haji Mohamad Hashim berkata beliau kini mempunyai lebih 100,000 keping setem bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga dari negara-negara lain.

    Beliau menyatakan harapan untuk mempamerkan koleksinya pada masa depan sebagai usaha bagi menggalakkan generasi muda supaya tampil ke hadapan dan menanam minat mengumpul setem kerana setem mempunyai nilai pendidikan sejarah yang amat berguna.

    Haji Mohamad Hashim semasa ditemu bual oleh media. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...