SEKTOR pertanian di negara ini mengalami transformasi ke arah yang lebih dinamik dan kompetitif. Sektor ini amat penting, bukan sahaja kerana ia dapat membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara malahan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini. Bidang pertanian kini semakin mendapat tempat di hati belia dan mereka mula menceburi bidang pertanian secara sepenuh masa dengan tekad untuk menjadi usahawan tani yang berjaya. Ini membuktikan bahawa persepsi belia terhadap pertanian mula berubah malah minda mereka mula terbuka untuk menyahut seruan slogan seperti ‘Pertanian Adalah Perniagaan.’
Tip yang diperlukan untuk berjaya
Bidang pertanian mempunyai potensi besar dalam melahirkan usahawan berjaya. Malah, telah terbukti, jika diberi tumpuan dan bimbingan, bidang ini mampu melahirkan jutawan tani. Sehubungan itu pelbagai usaha perlu dilakukan bagi memastikan usahawan tani yang berminat untuk menjadi usahawan tani terutama generasi muda mempunyai gelanggang untuk bergerak maju.
1. Membuat penyelidikan dan kajian
Seseorang itu perlu membuat penyelidikan dan kajian terlebih dahulu tentang bidang pertanian mahu pun penternakan yang ingin diceburi. Kajian yang terperinci perlu dilakukan terutamanya dari aspek kos, harga pasaran, modal, tanah serta cara-cara ia dijalankan.
2. Membuat lawatan
Lawatan ke beberapa tempat atau ladang ternakan atau tanaman yang telah diusahakan dan perjumpaan dengan mereka yang arif serta pakar di dalam bidang yang ingin diceburi boleh membantu mendapat ilmu dan pandangan mereka tentang prospek bidang yang ingin diceburi atau usahakan.
3. Kajian dengan agensi-agensi
Kajian juga boleh dilakukan dengan berjumpa dengan agensi-agensi yang tertentu seperti pusat penyelidikan dan pembangunan pertanian untuk mendapatkan penerangan yang lebih lanjut tentang hasil kajian seperti dari aspek pembajaan, pengairan, serangan serangga perosak dan sebagainya. Khidmat nasihat dari mentor yang bertauliah seperti mereka yang sudah berjaya di dalam bidang tersebut boleh mengelakkan dari ditipu.



4. Latihan
Keperluan latihan juga amat penting dalam usaha untuk menjadi usahawan tani yang berjaya contohnya mengikuti kursus atau latihan serta kemahiran dengan mendaftarkan diri di pertubuhan-pertubuhan penternakan dan tanaman seperti pertubuhan peladang mengikut kawasan masing-masing.
5. Permulaan modal
Usahawan tani juga boleh menyediakan kertas kerja untuk mendapatkan pinjaman sebagai permulaan modal, serta satu gambaran lengkap sejauh mana projek pertanian yang akan diusahakan boleh mendapat untung. Bagi pengusaha pertanian moden, modalnya adalah lebih besar dari pertanian biasa kerana meliputi kos-kos buruh dan peralatan moden.
6. Minat
Minat memainkan peranan yang penting dalam menentukan kejayaan seseorang usahawan tani itu bagi sesuatu projek untuk diusahakan. Ada yang minat pertanian kerana suka bercucuk tanam dan ada pula yang berminat kerana pulangan pertanian yang lumayan. Tanpa minat besar kemungkinan projek yang diusahakan akan terbengkalai dan menemui kegagalan begitu sahaja.
Perancangan juga tidak kurang pentingnya. Tanpa perancangan yang rapi sesuatu projek itu tidak akan dapat dilaksanakan dengan lancar. Faktor utama mengapa banyak projek pertanian gagal adalah kurangnya ketahanan mereka dalam menghadapi masalah kerana tiada perancangan. Kerja-kerja membajak tanah, menanam benih, membaja, meracun, menggembur dan lain-lain perlu dirancang dengan teliti.
7.Ketahanan
Setiap projek pertanian walau apapun jenisnya, akan menghadapi kekangan dan masalah yang tidak henti-henti. Di sinilah ketahanan diri penting untuk mengatasi halangan dan menentukan apakah sesuatu projek mampu bertahan atau tidak.
Sebagai contoh banyak projek pertanian seperti penanaman serai, ikan keli dan gaharu mengalami kegagalan kerana pengusaha tiada ketahanan diri.
8.Inovasi dan kreativiti
Inovasi dan kreativiti adalah nilai kemahiran yang perlu ada dalam diri usahawan berjaya. Kemahiran kreatif yang ada pada usahawan adalah faktor utama yang membezakan mereka dengan individu lain, inovasi juga penting untuk menjadi usahawan tani yang berjaya kerana pengusaha yang mampu berinovasi dengan keadaan sekeliling pasti mampu mencapai kejayaan.
9.Pemasaran
Seorang pengusaha harus mengetahui kelebihan hasil tanamannya. Kemudian, digabungkan dengan promosi yang menarik sehingga dapat menarik orang untuk membeli produk. Pengusaha perlu pandai dalam mencuri peluang yang ada untuk memasarkan produk masing-masing.
Strategi pemasaran pelu kreatif dan relevan dengan keadaan masa sekarang. Kewujudan media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter mampu menjadi sebahagian daripada strategi pemasaran.
10. Jaringan perhubungan dengan petani lain
Menjadi seorang pengusaha pertanian perlu memiliki hubungan yang luas dan banyak. Kita tidak mampu melaksanakan projek pertanian jika tiada mana-mana hubungan, terutama sekali pemilik jentera pemilik kedai baja dan racun atau pembekal benih. Memperbanyakkan jaringan hubungan menjadi sangat penting bagi memperluaskan projek pertanian anda. Setiap orang berpotensi sebagai pengguna atau bekerja sama dalam mengembangkan projek anda.
Kesimpulan
Kesimpulannya, usahawan tani yang ingin berjaya perlulah bekerja keras mencari peluang yang ditawarkan oleh pihak-pihak tertentu. Sehubungan itu juga, seseorang usahawan tani itu perlu mempunyai perancangan yang rapi projek yang akan dijalankan mungkin akan menemui kegagalan. Bak kata pepatah tiada usaha tanpa kejayaan dan tanpa usaha seseorang usahawan tani itu tidak akan berjaya. – Agensi