Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tanam pokok buah dengan teknik espalier

    Jika awda ingin menanam pokok buah tetapi merasakan ruang tidak mencukupi, fikir sekali lagi. Awda tidak memerlukan kebun besar atau halaman luas untuk menikmati hasil buah-buahan segar dari kebun sendiri.

    Sebaliknya, gunakan kaedah yang telah dipraktikkan oleh tukang kebun Raja Louis XIV pada abad ke-17 di Versailles. Pada ketika itu, musim sejuk yang dingin dan berangin — bukannya kekurangan ruang — mendorong mereka melatih pokok supaya tumbuh rata di sepanjang dinding.

    Tujuannya adalah untuk menggunakan struktur batu sebagai penghalang angin dan penebat haba.

    Kaedah yang dikenali sebagai ‘espalier’ ini bukan sahaja menjimatkan ruang, malah memberi banyak kelebihan.

    Bentuk pokok yang dilatih sedemikian memaksimumkan pendedahan kepada cahaya matahari, sekali gus membantu pokok bertahan dalam suhu dingin dengan lebih baik berbanding pokok biasa.

    Menariknya, kaedah ini juga mendorong pokok mengeluarkan lebih banyak hasil buah.

    Pokok buah espalier yang dilatih menegak pada dinding di George Washington’s Mount Vernon, di Virginia. – AP
    Pokok pir kerdil Moonglow matang yang dibentuk secara espalier di Kemper Center for Home Gardening di Missouri Botanical Garden, St. Louis. – AP
    Pokok pir espalier bebas berdiri di Planting Fields Arboretum State Historic Park di Oyster Bay, New York. – AP

    POKOK YANG SESUAI UNTUK ESPALIER

    Kebanyakan pokok dengan dahan panjang dan lentur sesuai untuk kaedah espalier, antaranya epal, ceri, ara, pic, pir, plum dan quince. Pokok hiasan seperti magnolia, firethorn dan witch hazel juga boleh dilatih dengan teknik ini.

    Nama ‘espalier’ berasal daripada bahasa Perancis yang bermaksud sesuatu untuk bersandar bahu, menggambarkan bagaimana pokok disandarkan kepada sokongannya.

    Namun, orang Perancis pada abad ke-17 bukanlah pencipta asal kaedah ini; dipercayai ia telah diamalkan sejak Zaman Pertengahan, malah seawal zaman Mesir purba.

    Walau bagaimanapun, tukang kebun Versailles telah memberikan nama dan kemasyhuran kepada teknik ini.

    BAGAIMANA IA BERFUNGSI

    Melatih pokok secara espalier memerlukan kombinasi pemangkasan dan kesabaran. Dahan yang tidak diingini dipotong, manakala dahan lain diarahkan untuk tumbuh ke sisi dengan diikat pada dinding atau pagar menggunakan dawai atau rangka sehingga pokok menyesuaikan diri dengan corak yang dikehendaki.

    Pokok akan terus mengeluarkan pucuk baharu yang mengganggu bentuk dan perlu dipangkas secara berkala, manakala dahan utama memerlukan masa lebih lama untuk mantap.

    Bagi mempercepatkan pertumbuhan, gunakan baja tinggi nitrogen (contohnya dengan nisbah 12-4-8 atau 16-4-8 seperti tertera pada label bungkusan) sebanyak tiga kali semusim — pada pertengahan musim bunga, awal musim panas dan akhir musim panas.

    Jangan mengharapkan bunga atau buah pada peringkat awal ini kerana ia boleh mengambil masa beberapa tahun.

    Tujuan baja tersebut adalah untuk memaksa pokok menumpukan tenaga kepada pertumbuhan, bukannya penghasilan.

    Apabila pokok sudah mencapai bentuk dan saiz yang diingini, beralihlah kepada baja khas untuk pokok buah dan kurangkan kekerapan kepada sekali setahun sahaja, iaitu pada musim bunga, mengikut sukatan yang disarankan pada bungkusan. (Jika pokok hiasan, gunakan produk yang sesuai untuk spesies tersebut).

    Namun begitu, kaedah ini boleh meningkatkan risiko serangan serangga perosak dan penyakit, kerana pertumbuhan rapat pada dinding mengehadkan aliran udara. Oleh itu, pantau keadaan pokok dengan teliti dan tangani masalah dengan segera jika ia timbul.

    Segala perhatian ini akhirnya akan membuahkan hasil dalam bentuk seni taman hidup yang indah — sambil awda menantikan hasil tuaian yang segar dan manis. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda