Thursday, November 14, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tanam pokok sempena ulang tahun ke-65

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Sebagai usaha untuk memberikan impak positif kepada alam sekitar, sebanyak 100 pohon pokok telah ditanam oleh Bank Standard Chartered (StanChart) Brunei di Hutan Simpan Berakas, hari ini.

    Aktiviti penanaman pokok berkenaan adalah bagi menandakan ulang tahun ke-65 penubuhannya di Negara Brunei Darussalam di mana ia disertai oleh lebih 50 orang kakitangan bank berkenaan.

    Ia merupakan sebahagian daripada aktiviti kesukarelawanan bank berkenaan yang dihasratkan untuk memberikan impak yang positif kepada alam sekitar dengan aktiviti dianjurkan bersama Jabatan Perhutanan dan Atmosphiere.

    Hadir untuk sama-sama menyertai dalam aktiviti penanaman pokok berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Turut menyertai aktiviti berkenaan ialah Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Hajah Rokiah binti Haji Badar; Pengarah Perhutanan, Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim dan Ketua Sekretariat Perubahan Iklim Brunei, Awang Ahmad Zaiemaddien bin Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf menyempurnakan penanaman pokok spesies Cinnamomum Iners. – Gambar serahan SCB
    YB Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf, Pengiran Aki dan jemputan khas bergambar-ramai dengan kakitangan SCB semasa aktiviti menanam pokok di Hutan Simpanan Berakas, hari ini (gambar serahan SCB).

    Ketua Pegawai Eksekutif Bank StanChart Brunei, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa bank berkenaan amat berbesar hati kerana dapat menjadi sebahagian daripada pembangunan dan pertumbuhan Brunei, melayani warganya serta menjadi sebahagian daripada fabrik negara.

    Sebagai sebuah bank global, ulasnya lagi, StanChart komited kepada pembangunan ekonomi dan sosial mampan menerusi perniagaan, operasi dan komuniti.

    Di Brunei, mereka komited bagi mencapai sasaran eko untuk mengurangkan pencetakan kertas yang sehingga kini, mereka telah berjaya mengurangkan 66 peratus pencetakan kertas.

    Di samping itu, pejabat utama bank berkenaan di Bandar Seri Begawan juga telah diiktiraf sebagai bangunan bebas plastik sekali pakai pertama oleh Global Commercial Real Estate Services (CBRE). Pengiran Aki Ismasufian berkata dengan menekankan pendigitalan dan mengurangkan proses manual, mereka berharap untuk mencapai sasaran tinggi yang telah ditetapkan oleh diri mereka sendiri.

    Pendigitalan terus menjadi tumpuan utama bagi operasi dan perniagaan mereka, jelas beliau lagi, supaya dapat mengurangkan penggunaan kertas dalam operasi harian serta pada masa yang sama, memperkemas proses-proses bagi klien mereka.

    Beliau seterusnya menyatakan pihaknya amat gembira kerana dapat menanam 100 pohon pokok di mana ia dapat menyumbang kepada Protokol Hijau Brunei bagi meningkatkan liputan hutan kita sebanyak 500,000 pohon pokok menjelang 2035.

    “Ia juga merupakan cara yang amat bersesuaian untuk meraikan ulang tahun ke-65 kami di Brunei melalui sumbangan ini,” tambahnya.

    Selepas sesi memanaskan badan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf dan Pengiran Aki menyempurnakan penanaman pokok spesies Cinnamomum Iners.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda