Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Dengan krisis global penularan pandemik COVID-19, penggunaan teknologi digital telah menyaksikan peralihan yang besar dan permintaan kemahiran digital juga telah meningkat dalam beberapa sektor.
Namun begitu, peningkatan dramatik dalam penggunaan penyelesaian digital dan inovasi tidak seharusnya mengambil tempat dengan tidak ada pertimbangan etika.
Dengan perdebatan awam dan moral yang sedang berjalan mengenai perkembangan penggunaan teknologi digital seperti analisis data dan kecerdasan buatan (AI) dalam aktiviti harian, perkara-perkara seperti tanggungan, tanggungjawab, privasi, harta serta autonomi adalah antara perkara yang tidak memberikan gambaran yang baik mengenai penggunaan teknologi digital di mana pengumpulan data automatik, algoritma digunakan bagi meramal dan profil serta teknologi yang digunakan bagi risikan, telah menjadi kebimbangan orang awam yang utama.
Oleh itu, pendekatan holistik harus diambil untuk memastikan prinsip moral dan etika yang betul ditanam dalam diri semua pelajar di setiap peringkat pendidikan.
Perkara itu ditekankan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman dalam ucaptama semasa Meja Bulat Pelaburan dan Perniagaan ASEAN 2021, Kemahiran bagi Sebuah Zaman Digital, yang diadakan secara maya, hari ini.

Pada masa di mana kemahiran khusus yang diperlukan oleh pekerja hari esok, etika digital dan nilai-nilai menjadi prinsip pembimbing supaya dapat membangunkan serta melaksanakan teknologi digital secara bertanggungjawab.
Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa nilai-nilai dan prinsip-prinsip berkenaan tertanam dalam falsafah Melayu Islam Beraja.
Terdahulu dalam ucaptama itu, Yang Berhormat Dato berkata bahawa melengkapkan masyarakat bagi masa hadapan digital bergantung pada pembangunan generasi muda yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan dalam era digital ini.
Teknologi adalah hanya pemboleh, oleh itu, adalah amat penting bagi masyarakat khususnya pelajar-pelajar, dilengkapkan dengan kemahiran, ilmu pengetahuan dan kompetensi abad ke-21 relevan, yang diperlukan bagi seorang pelajar digital asli, jelasnya lagi.
Perkara itu, tekannya, dapat dilaksanakan dengan menumpukan kepada 6C iaitu pemikiran kritikal (critical thinking), kolaborasi (collaboration), komunikasi (communication), kreativiti (creativity), kesedaran kebudayaan (cultural awareness) dan pendidikan perwatakan (character education).
Beliau menambah bahawa 6C berkenaan adalah sebagai asas yang membolehkan kita untuk menyahut keperluan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4) dan Masyarakat 5.0 di mana permintaan bagi kemahiran kognitif lebih tinggi, emosi dan sosial serta teknologi akan terus bertambah.