Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tanam saham untuk akhirat

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Mereka yang mempunyai kelebihan harta dan wang ringgit dengan membelanjakan dan menginfakkannya ke jalan yang diredhai Allah S.W.T seperti berwakaf adalah orang yang sangat beruntung dan mendapat petunjuk serta hidayah daripada Allah S.W.T.

    Khatib dalam khutbah Jumaatnya hari ini menekankan bahawa amalan berwakaf merupakan ibadat yang berbentuk sedekah jariah yang dijanjikan ganjaran pahala oleh Allah S.W.T, selagi mana harta yang diwakafkan itu kekal dan dimanfaatkan oleh orang ramai, ganjaran pahala akan terus berkekalan walaupun pewakaf itu telah meninggal dunia.

    Wakaf itu adalah sesuatu yang diberikan untuk kepentingan dan kegunaan orang ramai dengan tujuan untuk mendapatkan kebaikan dan keredhaan Allah S.W.T lebih-lebih lagi jika berwakaf untuk pembinaan masjid yang merupakan amalan yang mulia dan sangat digalakkan dalam Islam.

    Menurut khatib lagi, memang tidak dinafikan, perbelanjaan untuk membina masjid itu bukannya sedikit dan tidak semua yang berkemampuan, akan tetapi, kita sebagai rakyat dan penduduk di negara ini berasa amat bersyukur kerana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penubuhan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam.

    “Alhamdulillah pada ketika ini perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam telah dibukakan kepada orang ramai selama 45 hari iaitu bermula pada 6 Disember 2017 yang lalu hingga 19 Januari ini dan dihasratkan menjadi wadah kekal bagi orang-orang Islam untuk menabung pahala melalui pembinaan masjid dan sebagai satu peluang keemasan untuk bertanam saham di akhirat.”

    SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam memberi peluang kepada orang ramai khususnya umat Islam di negara ini bagi menginfakkan dan membelanjakan harta dengan niat sebagai ibadat dan melipatgandakan amal kebajikan semata-mata bagi meraih ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah S.W.T.

    Khatib menambah, hasil kutipan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam akan digunakan bagi membina masjid baharu, membaik pulih dan menambah bangunan masjid serta keperluannya.

    Menurut khatib lagi, masjid ialah tempat yang mulia lagi suci dan peranan masjid dalam kehidupan umat Islam adalah sangat penting kerana itulah perkara utama yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W setelah berhijrah ke Madinah dengan membina masjid iaitu Masjid Quba.

    “Dari masjid inilah bermulanya penyebaran dan pengukuhan syiar Islam yang berperanan sebagai pusat peribadatan, pusat ilmu pengetahuan, pusat kegiatan umat dan lain-lain lagi aktiviti kemasyarakatan.

    “Sesuai dengan peranannya sebagai tempat ibadat dan menyeru manusia kepada ketakwaan dan menjauhi kemaksiatan, masjid hendaklah dibangunkan atas dasar takwa Allah S.W.T,” ujar khatib mengakhiri khutbahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda