Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 DIS – Islam adalah agama yang menganjurkan umatnya untuk sentiasa mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah serta hidup dalam aman damai.
Kerana itu, kita dilarang daripada melakukan perkara yang boleh menjejaskan dan merosakkan hubungan baik sesama manusia seperti bertelingkah, bermusuh-musuhan, tuduh-menuduh, bersangka buruk dan seumpamanya.
Khatib menjelaskan perkara ini semasa menyampaikan khutbah Jumaat hari ini bertajuk Tenangkan Hati dengan Husnuzon dan menambah, perasaan buruk ialah sangkaan atau anggapan buruk terhadap sesuatu perkara atau seorang sebelum mengetahui dan menyelidiki perkara yang sebenarnya, ia merupakan salah satu sifat buruk yang berada dalam hati manusia. Untuk menjauhkan diri daripada bersangka buruk, jelas khatib, kita dituntut untuk sentiasa membersihkan hati dengan husnuzon iaitu bersangka baik.
Katanya lagi, “Husnuzon adalah sifat yang dianjurkan dalam agama Islam untuk ditanamkan dalam diri seseorang manusia dan bersangka baik merupakan pencetus kepada sifat kasih sayang, rasa hormat dan ketenangan hati”.
Seseorang yang sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT dan sesama manusia, jelasnya, sudah pasti fikirannya akan sentiasa positif, hatinya tenang dan sentiasa bersikap berlapang dada.

Katanya lagi,“Bersangka baik sesama manusia sangat dituntut dalam menjaga keharmonian masyarakat terutama dalam era penggunaan media sosial ini.”
Ini kerana, tegasnya, maklumat sangat mudah untuk disebarkan tanpa mengenal pasti kesahihan termasuk maklumat yang tidak benar. Dengan sikap bersangka baik, jelas khatib, ia mampu untuk menyelamatkan diri daripada melakukan fitnah dan mengelakkan daripada berlaku salah faham.
Khatib dalam khutbahnya antara lain mengongsikan dalam kitab Bidayatul Hidayah untuk sentiasa bersangka baik sesama insan iaitu jika bertemu dengan seseorang ucapkanlah dalam hati mungkin kedudukannya di sisi Allah SWT jauh lebih baik dan lebih tinggi daripada aku.
“Jika bertemu orang tua ucapkanlah dalam hati, dia telah beribadah kepada Allah SWT jauh lebih lama daripada aku dan tentu dia lebih baik daripada diri sendiri,” tambahnya.
Khatib dalam khutbahnya seterusnya menegaskan, bersangka baik merupakan sikap terpuji yang memiliki banyak keutamaan dalam kehidupan manusia dan keutamaan bersangka baik dalam kehidupan sehari-hari akan dapat memberikan jiwa berasa tenang, damai dan tenteram kerana tidak terganggu oleh pemikiran negatif terhadap orang lain.
Selain, meningkatkan hubungan kekeluargaan sehingga dapat menjaga konflik dan perpecahan yang dibinasakan oleh salah faham dan disenangi oleh orang sekeliling.
Di samping itu, mendorong diri untuk berbuat lebih baik dalam semua aspek, dan menutup pintu fitnah dan membuka pintu kasih sayang sesama manusia. Agama Islam mengajar umatnya agar memiliki hati yang suci, bersih dan tidak mudah menaruh persangka buruk terhadap Allah SWT dan sesama insan.
Sebagai umat Islam yang inginkan keharmonian dan kebahagiaan dalam kehidupan, tegas khatib, wajar untuk sentiasa bersangka baik untuk perpaduan kehidupan berkeluarga, beragama, bermasyarakat dan bernegara.
Dengan demikian, tambah khatib, kita akan sentiasa hidup rukun damai dan berbahagia di dunia dan di akhirat.

