Oleh Sim Y. H.
KUALA BELAIT, 28 April – Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) turut serta dalam acara KBku Ceria dengan pelbagai aktiviti pemberigaan dan pentingnya keselamatan jalan raya dalam mengelakkan kemalangan dan mengurangkan tahap kecederaan, yang berlangsung di Taman Jubli, Kuala Belait, hari ini.
Hadir pada acara berkenaan ialah Pemangku Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Haji Rozaly bin Haji Saidon selaku ketua Urus Setia MKKJR berserta pegawai dan kakitangan Urus Setia MKKJR, JPD cawangan Daerah Belait dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Acara itu merupakan antara inisiatif berterusan MKKJR dalam usahanya untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya terutama sekali dalam memberi dorongan kepada orang ramai agar menanamkan sifat keprihatinan dan saling hormat-menghormati sesama pengguna jalan raya.
Haji Rozaly dalam wawancara bersama pihak media, mengingatkan orang ramai untuk tidak memandu laju di samping mengelakkan menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan untuk sentiasa menggunakan tali pinggang keledar semasa memandu.
Aktiviti pada waktu pagi yang telah pun dianjurkan oleh Jabatan Bandaran Kuala Belait itu turut mengetengahkan kerjasama JPD cawangan Belait dengan pameran Seatbelt Convincer bersama Syarikat Mothercare yang memaparkan penggunaan tempat duduk anak-anak yang bersesuaian dalam kenderaan.
Demonstrasi Seatbelt Convincer itu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai akibat pemakaian tali pinggang keselamatan berbanding dengan tidak memakainya.
Dengan mengalami dan melihat sendiri kesan akibat secara dekat, adalah diharapkan orang ramai akan lebih yakin mengenai kepentingan memakai tali pinggang keselamatan sewaktu memandu, yang sememangnya terbukti dapat mengurangkan tahap kecederaan apabila terlibat dalam kemalangan.
Manakala itu, pemberigaan mengenai tempat duduk anak-anak dalam kenderaan juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pentingnya memastikan keselamatan penumpang, terutama sekali anak-anak, terjamin ketika berada di dalam kenderaan.
Di samping itu juga, MKKJR turut mempamerkan istilah kepentingan penggunaan tayar yang selamat. Ini juga antara aspek memastikan pemanduan yang selamat dan berhemah antara para pemandu ketika berada di jalan raya.
