Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tanam tanggungjawab, semangat kenegaraan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, hari ini, telah mengadakan Program Rakan Remaja Penerangan di Dewan Serba Guna Sekolah Menengah Katok (SMK).

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi.

    Turut hadir ialah tenaga pengajar sekolah, kakitangan dan penuntut-penuntut SMK.

    Menurut kenyataan Jabatan Penerangan, program berkenaan merupakan program persembahan khusus bagi golongan remaja terutama bagi pelajar sekolah dalam menyebarluaskan maklumat semasa.

    Ia berobjektif untuk mendekati para remaja di sekolah-sekolah supaya mereka peka dengan perkembangan semasa, menanamkan semangat kenegaraan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan remaja serta menjadikan pelajar sebagai ejen dalam penyebaran maklumat yang positif dan berkesan kepada rakan sebaya.

    Pengetua SMK ketika menyampaikan ucapan  alu-aluan pada majlis tersebut.
    Pengetua SMK ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis tersebut.
    Persembahan Qasidah dan Doa Taubat dari para penuntut SMK.
    Persembahan Qasidah dan Doa Taubat dari para penuntut SMK.

    Program juga bertujuan untuk memberikan kesedaran sivik dan semangat kenegaraan terutama kepada golongan remaja ke arah pembentukan minda dan moral positif, dalam masa yang sama, ia adalah untuk mendekati golongan belia dan remaja di sekolah-sekolah melalui seni hiburan yang terarah dan terpimpin.

    Terdahulu, acara dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan lagu patriotik ‘Bendera Negara’ yang diiringi oleh penuntut-penuntut Tahun 9 dan 10 SMK.

    Acara diberkati dengan bacaan Surat Al-Fatihah dan Doa Selamat, diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengetua SMK, Dayang Penroose Saleha binti Haji Mohammad Salleh.

    Acara kemudian diisika dengan Taklimat Kenegaraan bertajuk ‘Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’ disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan, Hajah Noorhijrah binti Haji Idris seterusnya disusuli dengan tayangan video ‘Kibarkan Bendera Negara Dengan Megah’, ‘Kibarkanlah Bendera Negara Kitani’ dan video animasi ‘Tatacara Mengibarkan Bendera’ terbitan Jabatan Penerangan.

    Program tersebut juga diserikan dengan persembahan Qasidah, Doa Taubat serta nyanyian lagu bercorak keagamaan bertajuk ‘Bulan Kerinduan’ dan ‘Lagu Ramadan’ oleh penuntut-penuntut sekolah berkenaan.

    Seramai 481 orang penuntut Tahun 9 dan  10 yang hadir juga telah dihiburkan dengan lawak jenaka dan kuiz yang disampaikan oleh pelawak-pelawak undangan tanah air.

    Di akhir majlis, tetamu kehormat menyampaikan sijil penghargaan dan hadiah Kuiz Kenegaraan kepada lima orang penuntut yang berjaya menjawab kuiz berkenaan.

    Acara diakhiri dengan penyampaian cenderahati daripada pihak sekolah kepada tetamu kehormat majlis dan sesi bergambar ramai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda