JENIN – Walaupun ribuan pokok zaitun dapat disaksikan meliputi di kawasan lereng bukit di bandar Arrabeh berdekatan dengan bandar Jenin di utara, ternyata terdapat juga ratusan pokok jojoba yang memiliki daun berwarna hijau cerah menghiasi kawasan tersebut.
Pohon jojoba dianggap sebagai sejenis pokok yang memiliki jangka hayat abadi dan memiliki pelbagai manfaat. Ia dapat dilihat di Palestin pada akhir tahun 1970an dan dipercayai berasal dari Arizona, Amerika Syarikat yang dibawa oleh Said Assaf, seorang Profesor Biokimia berusia 80 tahun.
Asaf menjelaskan bahawa ramai yang keliru dalam membezakan di antara pokok zaitun dengan jojoba berikutan faktor strukturnya yang kelihatan hampir sama. Di samping proses penanamannya juga turut disesuaikan dengan struktur pokok tersebut yang kebanyakannya terdiri daripada kaedah penanaman tradisi.
“Saya rasa kehadiran pokok jojoba ini secara tidak langsung telah membantu memperkukuhkan lagi tanaman dan keadaan alam sekitar serta ia juga tidak bertujuan untuk menandingi kehebatan pokok zaitun. Pokok jojoba juga turut menghasilkan minyak perubatan yang boleh diusap atau dimakan, di mana ia dipercayai memiliki manfaat kesihatan yang tersendiri,” jelas Asaf.
Dia turut menambah dengan mengatakan pokok ini memiliki daya ketahanan yang tersendiri, terutama ketika musim kemarau dan ketika kadar hujan turun berada pada paras yang sangat berkurangan.







Sebagaimana dengan pokok zaitun, pokok jojoba juga hanya mula mengeluarkan buah selepas tempoh selama sedekad ia ditanam.
Malah terdapat juga ungkapan dalam kalangan penduduk tempatan yang menyatakan bahawa pokok jojoba ini adalah sejenis pokok yang cukup istimewa di mana ia ditanam bukan dinikmati pada masa ini malah ia lebih kepada anak-anak, cucu-cucu atau generasi seterusnya.
Tidak seperti di kebanyakan tempat yang lain, Assaf telah mula menanam pokok jojoba pada struktur mengikut batang tersendiri dan bukan mengumpulkannya pada satu kawasan seperti struktur belukar.
Assaf mula berminat untuk menanam pokok jojoba sejak dia kembali ke Palestin dengan misi untuk membiayai program akademik khusus bagi bidang biokimia di universiti-universiti di Palestin.
Ketika dia pulang, dia telah membawa sama benih jojoba dan menanamnya di kawasan nurseri kecil di sekitar Jenin.
Dia berjaya menanam pokok jojoba buat kali pertama pada tahun 1981 di kawasan tanah miliknya sendiri berdekatan dengan kampung halamannya, Arrabeh.
Dia percaya bahawa jojoba merupakan sejenis pokok yang dapat memberikan manfaat sendiri kepada rantau itu dan di bawah keadaan geografi dan politik yang ada di Palestin. Ia secara langsung turut menjadi medium sesuai bagi penanaman pokok itu terutama dalam merujuk keadaaan tanahnya yang kering dan sering mengalami masalah kekurangan air.
Hasan Jum’a, seorang petani tempatan berusia 51 tahun telah bekerjasama dengan Assaf selama 20 tahun bagi menguruskan tanaman dan penuaian hasil pokok jojoba.
Dia menjelaskan bahawa pokok jojoba itu adalah sejenis tanaman yang sesuai ditanam di kawasan padang pasir dan tetap berupaya untuk bertahan walaupun berada dalam situasi mencabar seperti musim kemarau berpanjangan dan berpotensi untuk berhadapan dengan masalah kekurangan air.
Di samping itu, dia turut menjelaskan bahawa buah pokok jojoba ini memiliki bentuk seperti biji kacang, Lebih 48 peratus daripada beratnya adalah terdiri daripada minyak yang dipercayai memiliki banyak manfaat tersendiri.
Assaf dan isterinya, Karen Assaf, Saintis Alam Sekitar juga telah menubuhkan sebuah pusat penyelidikan saintifik untuk pembangunan minyak jojoba dan mula menanamnya di kawasan tanah yang lebih luas.
Biji kacang jojoba turut mengandungi kira-kira 50 peratus minyak dan hanya satu peratus air. Minyaknya juga boleh digunakan untuk tujuan kosmetik dan perubatan.
Selain daripada penggunaan minyak, pokok jojoba juga berupaya untuk melindungi tanah daripada hakisan dan tanah daripada dirampas oleh peneroka.
Minyak jojoba yang dihasilkan oleh pasangan Assaf ini juga turut diiktiraf di peringkat antarabangsa berikutan daripada kualitinya. Bagaimanapun mereka tetap mengakui ia masih belum berada di fasa yang dikenali dan tetap berhadapan dengan cabaran untuk memasarkannya.
Pasangan Assaf ini berjaya menghasilkan sekitar 1,500 kilogram minyak jojoba pada setiap tahun daripada 12,000 batang pokok yang ditanam selama lebih daripada tiga dekad. – Xinhua