TANDO ALLAHYAR, PAKISTAN – Mangga Pakistan merupakan kebanggaan kebangsaan dan sumber hasil pendapatan yang diperlukan, tetapi para petani telah menyalahkan perubahan iklim kerana menyebabkan penyebaran parasit dan cuaca ekstrem yang memusnahkan banyak tanaman pada musim ini.
Dengan selendang berwarna putih dan jingga diikat di kepalanya di bawah terik mentari, petani Muhammad Yusuf mengeluh dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Musim sejuk yang panjang tidak seperti kebiasaannya, di sambung lagi dengan turunan hujan pada April lalu yang paling banyak dalam beberapa dekad, sementara negara itu sekarang berhadapan dengan gelombang haba di mana suhu mencecah sehingga 52 darjah Celsius.
“Putik bunga tidak mekar pada masanya, banyak putik mati. Yang baru tumbuh pula dijangkiti dengan belalang hitam (parasit),” kata Yusuf, yang telah menghabiskan separuh daripada kehidupannya menanam mangga.
Yusuf yang kini berusia lebih 60 tahun, berkata ‘perubahan iklim telah menyebabkan malapetaka’ di kampungnya Tando Allahyar, kira-kira 200 kilometer timur daya dari hab ekonomi Karachi.




Pakistan merupakan penghasil mangga keempat terbesar di dunia dan pertanian merupakan hampir suku daripada KDNKnya.
Jauh di selatan, di Tando Ghulam Ali, Arsalan yang mengurus 900 ekar kebun mangga, menyedari kerosakan sebaik sahaja penuaian bermula minggu ini.
“Kami mengalami kerugian hasil pengeluaran 15 ke 20 peratus dan dengan pemetikan buah baru sahaja bermula angka ini pastinya akan meningkat,” kata lelaki berusia 32 tahun itu.
Arsalan memberi amaran bahawa eksport buah mangga akan dikurangkan.
“Mangga-mangga bertukar kuning di bahagian luar namun masih belum matang atau terlalu matang di dalamnya,” jelasnya.
Ziaul Haq, penanam mangga dan pengeksport dari Tando Ghulam Ali, berkata ‘serangan buah oleh perosak sangat luar biasa’.
“Dalam sejarah kami, ini tidak pernah berlaku sebelumnya,” dia memberitahu AFP.
Percambahan parasit telah menyebabkan peningkatan perbelanjaan pada racun serangga.
Peningkatkan itu juga diakui oleh beberapa petani di wilayah Sindh, di mana Tando Allahyar dan Tando Ghulam Ali terletak, begitu juga di wilayah pertanian terbesar Punjab di bahagian utara.
Mereka memberitahu AFP bahan kimia itu kini digunakan enam ke tujuh kali dalam setahun, berbanding hanya dua kali tiga tahun yang lalu.
Para petani di Sindh berkata mereka bergelut sejak 2022 apabila beberapa gelombang haba teruk melanda, yang kemudiannya diikuti kejadian banjir yang tidak pernah berlaku, sementara mereka yang berada di Punjab berkata penurunan hasil tanaman telah bermula beberapa tahun yang lalu.
“Kerugian di Punjab mencecah 35 ke 50 peratus dan di Sindh, 15 ke 20 peratus” berbanding tahun lalu, kata Waheed Ahmed, ketua Persekutuan Pengeksport Buah dan Sayur Pakistan (PFVA).
Bercakap kepada media tempatan, dia berkata tahun lalu Pakistan hanya dapat mengeksport 100,000 daripada 125,000 tan mangga yang dirancang untuk dieksport ke luar negara.
Pakistan mempunyai 20 jenis mangga, dalam kedudukan kedua setelah limau sebagai buah paling banyak dihasilkan di negara itu.
Kerugian pendapatan akibat hasil yang buruk boleh memberi kesan ketara kepada negara, yang kini sedang berbincang untuk mendapatkan pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Mashooq Ali, buruh berusia 30 tahun di Tando Ghulam Ali, mahu pihak kerajaan untuk membantu para petani berhadapan dengan masalah ini.
“Para pemilik tanah akan mendapat hasil yang kurang tahun ini,” kata Ali, yang mana isterinya telah memulakan perniagaan pakaian untuk memperoleh pendapatan lebih.
“Walaupun mereka membayar kami dengan jumlah yang sama tahun lepas, dengan inflasi, kami tidak akan mampu memberi makan keluarga kami.” – AFP

